Ramlan berkata jurulatih dan atlet perlu memberi perhatian kepada biomekanik. - Foto fail NSTP
Ramlan berkata jurulatih dan atlet perlu memberi perhatian kepada biomekanik. - Foto fail NSTP

Kuala Lumpur: Teknik biomekanik yang betul dalam aktiviti sukan perlu dititik beratkan oleh jurulatih dan juga atlet bagi mengurangkan risiko kecederaan selain mengekalkan konsistensi prestasi.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Abd Aziz berkata jurulatih dan atlet negara memang mempraktikkan unsur-unsur biomekanik dalam latihan namun teknik itu tidak digunakan secara menyeluruh.

Biomekanik merupakan pergerakan anggota tubuh manusia yang boleh diperbaiki dengan menggunakan pelbagai teknik yang menghasilkan kestabilan tubuh, daya dan imbangan paling optimum.

"Biomekanik adalah sains pergerakan tubuh badan iaitu berlari, melompat, melontar dan sebagainya. Teknik biomekanik memang sangat penting dalam sukan kerana ia melibatkan pergerakan tubuh badan seseorang atlet. Ia meliputi kefahaman tentang otot dan tulang. Setiap individu itu mempunyai biomekanik yang berbeza-beza.

"Jadi, seseorang atlet itu sendiri perlu lebih faham mengenai tubuh badan mereka. Jurulatih hanya boleh memberi tunjuk ajar, selebihnya bergantung kepada atlet untuk menggunakan kaedah yang betul dalam latihan mereka," katanya eksklusif kepada Bernama.

Dr Ramlan ditemui selepas menghadiri program motivasi bersama Olimpian Olahraga, Carl Lewis dari Amerika Syarikat anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini semalam.

Lewis yang juga merupakan pemenang sembilan pingat emas Sukan Olimpik turut menyampaikan motivasi pada Forum Transformasi Global di sini. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2015 @ 1:19 PM