Mallika Sherawat
Mallika Sherawat
Agensi

Paris: Bintang Bollywood dan model antarabangsa, Mallika Sherawat diserang di depan bangunan apartmennya di Paris oleh tiga lelaki bertopeng yang menyembur pemedih mata dan memukulnya, minggu lalu.

Serangan terhadap bintang berusia 40 tahun itu berlaku hanya sebulan selepas bintang realiti televisyen, Kim Kardashian menjadi mangsa rompakan bersenjata di apartmen yang terletak tidak jauh dari situ.

Dalam kejadian lewat Jumaat lalu itu, Mallika dan rakannya yang tidak dikenal pasti sampai di apartmennya pada jam 9.30 malam (waktu tempatan).

Akhbar Le Parisien melaporkan, penjenayah terbabit menutup muka menggunakan kain dan tanpa berkata-kata terus menyembur gas pemedih mata sebelum menumbuk Mallika dan rakannya itu.

Mereka kemudian melarikan diri.

Siasatan sudah dilancarkan dan polis antara lain menyiasat kemungkinan suspek cuba merompak mangsa.

Mallika atau nama sebenarnya Reema Lamba terkenal dengan kelantangannya menyelar serangan terhadap wanita di negara asalnya, termasuk kejadian rogol beramai-ramai dan pembunuhan demi maruah.

Pada 3 Oktober lalu, Kim disamun sekumpulan lima perompak yang melarikan diri dengan barang kemas bernilai jutaan dolar. Dalam kejadian itu, Kim dan seorang pengawal keselamatan turut diikat dan diacukan pistol.

Suspek kes itu masih belum ditangkap.

Kejadian seperti itu merosakkan lagi imej Perancis yang masih dalam keadaan darurat susulan beberapa serangan pengganas sejak awal tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2016 @ 9:47 AM