ANGGOTA pembangkang Kosovo melepaskan gas pemedih mata dan penyembur lada dalam dewan.
ANGGOTA pembangkang Kosovo melepaskan gas pemedih mata dan penyembur lada dalam dewan.
AFP

Pristina (Kosovo): Anggota pembangkang Kosovo menggunakan gas pemedih mata dan penyembur lada sebagai usaha terbarunya untuk menghalang Parlimen bersidang, sementara pada masa sama penunjuk perasaan di luar menconteng dinding dan membaling batu ke arah polis.

Mereka berjaya melumpuhkan sesi Parlimen sejak beberapa minggu lalu bagi menggagalkan dialog Kesatuan Eropah (EU) dan perjanjian dengan Serbia. Kosovo keluar dari Serbia dan mengisytiharkan kemerdekaannya pada 2008.

Mereka menentang perancangan mewujudkan beberapa perbandaran dikendalikan golongan etnik minoriti Serb kerana dibimbangi semakin menguatkan pengaruh Serbia di Kosovo.

Perjanjian itu dicapai sebelum ini hasil perbincangan dengan Serbia yang melihat EU menjadi orang tengah.

Ia menyasarkan untuk memperbaiki hubungan antara kedua-dua pihak selepas peperangan dari 1998 hingga 1999.

Walaupun dengan kehadiran polis di dalam dan sekitar Parlimen, pembangkang melepaskan gas pemedih mata di dalam dewan untuk menghalang sesi itu daripada diteruskan, lapor wartawan di tempat kejadian.

Seorang ahli Parlimen pembangkang dilihat cuba menyembur gas pemedih mata ke arah menteri, namun berjaya dihalang dua barisan polis.

Ahli Parlimen daripada parti pemerintah bersidang semula di bilik lain dalam bangunan berkenaan untuk meneruskan rundingan tanpa wakil pembangkang.

Sementara itu, Perdana Menteri Isa Mustafa berkata: “Kejadian ini adalah perbuatan jenayah oleh individu tertentu dan tindakan mesti diambil terhadap mereka.

“Mereka mesti dikenakan tindakan undang-undang. Kami tidak akan membenarkan minoriti 30 wakil pembangkang ini menggagalkan usaha gigih golongan majoriti di Parlimen.”

Belgrade enggan mengiktiraf kebebasan Kosovo, yang penduduknya secara majoriti daripada etnik Albania.

Pembangkang turut menolak perjanjian sempadan dengan negara jiran, Montenegro, Ogos lalu, yang dianggap mengakibatkan Kosovo kehilangan wilayah.

Ketua pembangkang, Visar Ymeri berkata: “Pendirian kami jelas. Kami menentang Parlimen hampir dua bulan sehingga kini dan akan meneruskannya sehingga permintaan kami dipenuhi.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2015 @ 7:01 AM