POLIS  memeriksa kawasan selepas seorang lelaki mati ditembak di sebuah balai polis di Paris, semalam.
POLIS memeriksa kawasan selepas seorang lelaki mati ditembak di sebuah balai polis di Paris, semalam.

Paris: Polis semalam menembak mati seorang lelaki yang bersenjatakan pisau selepas cuba memasuki balai sambil melaungkan takbir dan memakai tali pinggang yang dipasang bom palsu.

Lelaki itu cuba merempuh masuk ke balai berkenaan di utara Paris - kawasan didakwa disasarkan Negara Islam (IS) sebagai sebahagian daripada serangannya di situ sejak November lalu.

Seorang pegawai polis berkata: “Dia dilaporkan mahu meletupkan dirinya. Dia melaungkan takbir dan wayar dapat dilihat terjulur dari bajunya menyebabkan polis melepaskan tembakan.”

Wartawan Anna Polonyi yang melihat kejadian dari apartmennya di seberang jalan memuat naik gambar ke media sosial menunjukkan robot pemusnah bom di sisi mayat suspek.

Katanya, dia dan adik perempuannya melihat polis menjerit terhadap lelaki itu yang terus meluru ke arah mereka sebelum polis melepaskan tembakan.

Kejadian berlaku tepat setahun selepas serangan menyasarkan pejabat majalah satira Charlie Hebdo di Paris, dan hanya beberapa minit selepas Presiden Francois Hollande memberi ucapan sempena memperingati kejadian berkenaan.

Jurucakap kementerian dalam negeri, Pierre-Henry Brandet berkata: “Lelaki itu memakai sesuatu yang nampak seperti tali pinggang dipasang bom.”

Dia kemudian mengesahkan ‘bom’ itu palsu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2016 @ 6:48 AM