Kim Swee (kanan) bersama (dari dua kiri) Nazirul Naim, Baddrol Bakhtiar, Mattew Davies dan Zaquan Adha dengan jersi baru hitam. FOTO HM
Kim Swee (kanan) bersama (dari dua kiri) Nazirul Naim, Baddrol Bakhtiar, Mattew Davies dan Zaquan Adha dengan jersi baru hitam. FOTO HM
Daripada Aziman Rosdi di Yangon (Myanmar)


Yangon: Penyokong Harimau Malaysia perlu menunggu lebih lama untuk melihat pemain beraksi dengan jersi baru selepas pengendali Datuk Ong Kim Swee berasakan jersi utama berwarna hitam itu tidak sesuai digunakan pada perlawanan sebelah petang dalam aksi Kumpulan B Piala AFF 2016 Yangon, Myanmar.

Jersi baru Harimau Malaysia sempena saingan Piala AFF dilancarkan pada Selasa lalu dengan mengubah tradisi jersi utama belang kuning hitam kepada hanya warna hitam.

Manakala jersi kedua yang sebelum ini berwarna biru kini ditukar kepada warna putih.

Bagaimanapun Kim Swee berkata, jersi berwarna hitam itu mungkin agak tidak sesuai digunakan khususnya pada dua perlawanan pertama kumpulan menentang Kemboja Ahad ini dan Vietnam pada 23 November yang berlangsung dalam cuaca panas jam 3 petang waktu tempatan (4.30 waktu Malaysia).

Satu lagi perlawanan menentang tuan rumah pula diadakan jam 6 petang waktu tempatan.

Jika jersi utama tidak digunakan dalam perlawanan peringkat kumpulan itu, anak buah Kim Swee boleh memakai jersi erwarna putih yang dilihat lebih sesuai dengan cuaca.

Skuad kebangsaan sudah berada di Yangon sejak semalam bagi persiapan terakhir aksi pembukaan Kumpulan B Piala AFF menentang Kemboja Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2016 @ 6:34 PM