Yangon (Myanmar): Penjaga gol Harimau Malaysia Khairul Fahmi Che Mat yakin cuaca panas di Yangon bukan alasan untuk mereka gagal mempamerkan aksi terbaik dalam saingan Kumpulan B Piala AFF 2016 di sini.
Bahang saingan cukup dirasai anak buah Datuk Ong Kim Swee ketika ini bukan saja bakal berdepan cabaran hebat daripada Kemboja, Vietnam dan Myanmar.
Malah dua perlawanan pada 3 petang (4.30 petang waktu Malaysia) di Stadium Thuwunna pasti menyukarkan mereka.
Bagaimanapun Khairul, 27, yang tampil buat kali keempat di pentas terbesar bola sepak rantau Asia Tenggara ini menyatakan bahawa mereka sudah cukup bersedia.
"Kita dapat menyesuaikan diri dengan cuaca sebab kita di Malaysia bukan sejuk sangat, panas juga jadi ia bukan satu masalah besar.
"Malah ketika di Malaysia kita juga sudah berlatih awal 3 petang namun mungkin sebelum ini cuaca di Malaysia tak panas kerana selalu hujan," katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad kebangsaan.
Khairul Fahmi atau turut dikenali sebagai Apek antara tonggak utama Harimau Malaysia ketika muncul juara buat kali pertama pada 2010 apabila mengalahkan Indonesia dengan agregat 4-2.