NAZMI sudah menandatangani kontrak bersama Johor DT.
NAZMI sudah menandatangani kontrak bersama Johor DT.
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Nazmi Faiz Mansor berkemungkinan besar bakal dipinjamkan ke kelab Jepun bagi mendapat pendedahan yang bakal membantu perkembangan kariernya.

Pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (Johor DT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengesahkan pemain itu sudah menandatangani kontrak bersama Harimau Selatan dan pihaknya merancang untuk meminjamkan pemain berkenaan ke salah sebuah kelab di negara Matahari Terbit itu.

“Buat masa ini belum tahu kelab mana lagi tapi kita sedang tengok dan akan pinjamkan Nazmi Faiz dengan kelab Jepun. Saya harap dia dapat bermain di sana. Jika sudah mendapat pengalaman di Jepun, sudah pasti dia akan memberi manfaat kepada Johor DT.

“Mengenai Ahmad Hazwan Bakri, kami akan menghantar surat secara rasmi kepada FAS (Persatuan Bolasepak Selangor) untuk mendapatkan khidmat pemain itu,” kata Tunku Ismail.

Tunku Ismail juga menegaskan, seandainya ada pihak yang mahu membeli Juan Martin atau Jorge Pereyra Diaz dengan harga tinggi, Johor DT sedia menjual kedua-duanya kerana bajet musim 2017 bakal dikurangkan hampir 50 peratus berbanding tahun lalu.

Malah katanya, Nazrin Nawi akan menyertai Melaka United (MU) selepas mendapat tawaran tinggi selain atas permintaan pemain itu sendiri yang minta dilepaskan dengan Johor DT tidak menghadapi masalah berbuat demikian.

“Mengenai kedudukan Amri Yahyah dalam skuad Johor DT, saya serahkan kepada Mario Gomez sama ada dia masih diperlukan dalam perancangan jurulatih,” kata Tunku Ismail.

Mengulas mengenai pembabitan Johor DT dalam saingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim depan, Tunku Ismail menyifatkan kehadiran mereka dalam saingan itu memberi impak positif.

Katanya, dari aspek bakat dan fizikal setiap pemain Johor DT, jelas menunjukkan mereka boleh bersaing tetapi secara realitinya kelab seperti di China dan Jepun memiliki tahap kualiti permainan yang lebih tinggi.

“Berada pada saingan ACL adalah pengiktirafan tertinggi di Asia. Sebagai contoh tengok kelab dari Thailand, Buriram FC yang kalah teruk dalam saingan ACL tapi mereka tetap bangga.

“Malah, ketika kami tewas saingan Piala AFC ramai yang mengkritik dan soalan saya kepada mereka, sebutkan mana-mana pasukan di Malaysia yang pernah layak ke separuh akhir Piala AFC dua musim berturut-turut. Tiada, kecuali kami,” kata Tunku Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2016 @ 8:46 AM