FARHAN
FARHAN
KUNANLAN
KUNANLAN
Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru

Kelibat dua pemain kebangsaan, Zubir Azmi dan Nor Farhan Mohammad dikhabarkan ingin dan bersedia berkhidmat bersama Johor Darul Ta'zim (Johor DT) pada musim depan.

Walaupun belum ada pengesahan rasmi daripada Johor DT, pemain bek kiri dan penyerang Terengganu itu dikatakan berada dalam perancangan skuad Harimau Selatan yang dibimbing ketua jurulatih Bojan Hodak.

Selain itu, penjaga gol, Selangor, Farizal Marlias dan S Kunanlan turut diintai Johor DT dalam usaha memantapkan skuad itu menghadapi kempen Liga Malaysia (Liga M) dan Piala AFC musim depan.

Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, persiapan rapi perlu dirancang bagi memantapkan skuad itu dengan membawa masuk beberapa pemain tempatan yang berkualiti.

"Buat masa ini saya enggan ulas lanjut siapa pemain yang akan dibawa masuk sebaliknya akan mengumumkan secara rasmi kelak."

Apapun keempat-empat pemain import iaitu Luciano Figueroa, Jorge Pereyra Diaz, Marcos Antonio dan Hariss Harun dikekalkan manakala beberapa pemain tempatan akan dibawa masuk termasuk S Chanturu.

"Saya mahu memantapkan posisi serangan, bek kiri dan penjaga gol kerana ketiga-tiga posisi perlu diperkuatkan menghadapi saingan musim baru Liga M dan Piala AFC yang lebih mencabar.

"Kami perlu mendaftar seramai 30 pemain musim depan dan saya mahukan barisan terbaik untuk berusaha mengekalkan kejuaraan Liga Super dan paling utama membawa nama negara mengharungi Piala AFC," katanya.

Andai menjadi kenyataan, Zubir bakal menguatkan posisi bek kiri tatkala skuad Harimau Selatan kini hanya bergantung kepada Asaruddin Putra Omar dan Muhd Fazly Mazlan beraksi di posisi itu.

Difahamkan corak permainan pantas Zubir dan Nor Farhan yang sering mempamerkan aksi konsisten sepanjang saingan Liga M menarik minat Johor DT namun belum ada kata putus.

"Musim depan lebih mencabar dan kami perlu membuat persiapan rapi, malah dengan dibarisi pemain tempatan yang mantap dan pemain import berkualiti, ia beri kekuatan kepada JDT untuk beraksi saingan Liga M dan Piala AFC," kata Tunku Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Oktober 2014 @ 5:09 AM