Tunku Ismail anggap keputusan tidak sertai ACL amat berat untuk ditelan. FOTO Rizar Mohd Noor
Tunku Ismail anggap keputusan tidak sertai ACL amat berat untuk ditelan. FOTO Rizar Mohd Noor
Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegaskan keputusan tidak membenarkan pasukan itu menyertai saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Doha, Qatar bermula 18 November hingga 13 Disember begitu berat untuk ditelan.

Tunku Ismail dalam kenyataan rasmi di laman rasmi Johor Southern Tigers juga menegaskan tindakan membatalkan saingan suku akhir Piala Malaysia dianggap keputusan yang berat untuk diterima.

Bagaimanapun Tunku Ismail memilih untuk tidak mahu mengambil risiko ketika Malaysia dan negara di seluruh dunia masih lagi berdepan pandemik Covid-19 yang masih menular.

"Saya yakin kerajaan melakukannya yang terbaik demi kepentingan dan kebajikan rakyat Malaysia termasuk keluarga-keluarga semua pihak terbabit.

"Ini kerana kes-kes Covid-19 semakin meningkat dan situasi ini akan menjejaskan kelangsungan hidup jika berterusan.

"Sesiapa sahaja tidak terlepas dari ancaman Covid-19. Sebagai contoh pemain bintang Mesir, Mohamed Salah juga disahkan positif apabila tiba untuk perlawanan antarabangsa walaupun tidak menunjukkan sebarang simptom." kata Tunku Ismail dalam kenyataan itu.

Baru-baru ini Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri, mengesahkan JDT tidak dibenarkan untuk menyertai saingan ACL malah beliau juga memaklumkan kepada kelab berkenaan larang itu.

Situasi berkenaan mengundang persoalan apabila juara Liga Super tujuh musim berturut-turut mungkin berhadapan tindakan daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Berdasarkan perkara 6.2 peraturan kejohanan AFC, mana-mana pasukan yang menarik diri selepas peringkat kumpulan kejohanan itu bermula boleh didenda sehingga AS$50,000 (RM206,400) dan penggantungan sebanyak dua edisi.

Namun difahamkan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia, Stuart Ramalingam akan mengadakan perbincangan bersama Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John Paul berkenaan denda yang bakal dikenakan terhadap JDT.

Tunku Ismail juga bersetuju dengan pandangan Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards berhubung keputusan kerajaan itu.

"Alistair sudahpun menyatakan kekecewaan kelab kerana musim 2020 berakhir begitu sahaja. Tapi kami akur dengan keputusan kerajaan dan memahami bahawa kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia adalah penting demi masa depan negara," kata Tunku Ismail.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 November 2020 @ 11:32 AM