HARIMAU Selatan terbukti unggul  selepas rangkul Piala AFC.
HARIMAU Selatan terbukti unggul selepas rangkul Piala AFC.
Oleh Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Perancangan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) mengadakan siri persahabatan pramusim selama dua minggu di Thailand dianggap bertepatan bagi menyesuaikan dengan corak permainan kelab di negara itu.

Ia juga sebagai persiapan berdepan kelab Muangthong United FC pada saingan pusingan kedua kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL), 2 Februari ini memandangkan kelab dari Thailand memiliki reputasi tinggi selaku kelab berjaya di rantau Asia Tenggara dan Persatuan Bolasepak Thailand (FAT) sedang menguruskan jadual aksi persahabatan ketika Johor DT mengadakan latihan pramusim.

Bagi Penaung Diraja Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyifatkan walaupun bola sepak di negara tidak setanding dengan negara Asia, namun tidak salah untuk memberi persembahan terbaik pada saingan itu.

“Ketika kami mara ke suku akhir Piala AFC, saya anggap ia pencapaian terbaik dan seterusnya melangkah ke separuh akhir dan kemudiannya muncul juara, malah saya amat bersyukur dengan apa yang dikecapi.

“Menang Piala AFC pencapaian terbesar buat Johor DT dan saya amat bangga selepas jurulatih serta pemain menunjukkan komitmen tinggi hingga kejayaan dicipta.

“Sasaran pada musim depan adalah mencuba yang terbaik walaupun kami tahu agak sukar untuk menewaskan pasukan dari Thailand yang semua perlu faham betapa kualiti permainan kelab Muangthong United lebih tinggi, namun suka atau tidak kami perlu hadapi,” kata Tunku Ismail.

Pada saingan Piala AFC, Johor DT selaku juara bertahan diundi dalam Kumpulan H bersama JSW Bengaluru FC (India), Lao Toyota FC (Laos) dan Ayeyawady United (Myanmar).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2015 @ 5:53 AM