TUNKU Ismail (kiri) ketika berucap sidang media selepas majlis Kongres Kelab Bola Sepak (Johor DT) di Pusat Konvesyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru. FOTO/MOHD AZREN JAMALUDIN
TUNKU Ismail (kiri) ketika berucap sidang media selepas majlis Kongres Kelab Bola Sepak (Johor DT) di Pusat Konvesyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru. FOTO/MOHD AZREN JAMALUDIN
Rizar Mohd Noor


JOHOR Darul Ta’zim (Johor DT) akan membawa masuk sekurang-kurang seorang atau dua lagi pemain import bagi memperkuatkan pasukan untuk mengharungi kempen Liga Malaysia dan saingan Piala AFC musim depan.

Pemilik Johor DT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, selain pemain import, sekurang-kurangnya tiga atau empat pemain tempatan akan dibawa masuk bagi mengukuhkan lagi cabaran skuad itu.

Ketika ini, skuad Harimau Selatan diperkuat empat pemain import - Gabriel Guerra, Gonzalo Cabrera, Mohammed Ghaddar dan Marcos Antonio - yang terpaksa diketepikan untuk seketika selepas mengalami kecederaan.

“Pemain import yang saya akan bawa masuk sama ada seorang atau dua pemain manakala pemain tempatan mungkin tiga atau empat pemain,” kata Tunku Ismail.

“Bagi Johor Darul Ta’zim II ramai akan dibawa masuk kerana beberapa pemain dari JDT III akan ke pasukan itu. Saya juga ingin menegaskan tiada lagi wujud ‘feeder club’.

“Siapa yang pandai-pandai menyatakan ‘feeder club’, pandai saja FMLLP (Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia) kerana kalau kita tengok di Manchester United, Barcelona FC, Real Madrid mana ada ‘feeder club’.

“Ia sepatutnya ‘development club’ (kelab pembangunan) kerana tidak bersyarat dan kami boleh ambil mana-mana pemain muda untuk beraksi bersama Johor DT kerana kedua-dua pasukan di bawah kelab sama.”

Tunku Ismail juga memaklumkan pelantikan baru, Martin Hugo Prest sebagai Pengarah Sukan bagi melapor perkembangan mengenai Johor DT manakala Luciano Figueroa yang pernah dilantik memegang jawatan itu kini dilantik sebagai duta kelab.

Beliau juga mengesahkan presiden kelab masih dipegang oleh Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim dan Alistair Edwards selaku Pengarah Teknikal Johor DT.

Yayasan Johor DT dipengerusikan oleh Datuk Azmi Rohani yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri manakala Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) masih dipegang Datuk Ismail Karim.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2017 @ 12:06 PM