AZIZUL (lima dari kiri) bersama kakitangannya.
AZIZUL (lima dari kiri) bersama kakitangannya.
PEKERJA restoran Khory Stimbot, Grill & Yong Tau Fu, Azrotul Ezaty Mohd Said, 23, menunjukkan sebahagian bahan sejuk beku dibuat sendiri.
PEKERJA restoran Khory Stimbot, Grill & Yong Tau Fu, Azrotul Ezaty Mohd Said, 23, menunjukkan sebahagian bahan sejuk beku dibuat sendiri.
Zuhainy Zulkiffli


Makan sampai kenyang! Itu ungkapan paling tepat menggambarkan kehebatan Restoran Khory Stimbot, Grill & Yong Tau Fu dengan aura tersendiri bagi menarik penggemar stimbot menjamu selera.

Melangkah masuk ke restoran itu, mata pasti terpukau dengan deretan pelbagai jenis makanan laut dan stimbot, sayur-sayuran serta sos pencecah pelbagai warna.

Sebaik mengambil tempat, pengunjung diterangkan mengenai menu ditawarkan selain sama ada mahu menikmati hidangan bersama sup atau perisa tomyam.

Menurut pemiliknya Azizul Adri Omar, 35, sajian stimbot mempunyai lapan pilihan sos pencecah seperti barbeku, lada hitam, cili, tomato, lada kicap, masam manis dan cili thai.

Beliau berkata, restoran berkenaan menyediakan lebih 80 jenis bahan sejuk beku selain daging lembu dan kambing serta ayam.

Menurutnya, ada pelbagai bahan mentah termasuk makanan laut yang sinonim dengan menu stimbot seperti ketam, kerang, kepah, udang dan sotong.

“Saya menyediakan lebih 100 kilogram bahan mentah sehari dan kini menawarkan promosi minuman, air batu campur dan aiskrim percuma sehingga hujung tahun.

“Termasuk juga aneka bebola ayam dan ikan, kepingan daging lembu, kambing dan ayam, burger, nuget, mi segera, mi kasar, bihun, sayur-sayuran serta cendawan.

“Malah 13 daripada bahan sejuk beku itu kami buat sendiri dan sudah tentu ia keluaran Bumiputera dan status halalnya tidak perlu diragui,” katanya.

Restoran yang mula dibuka pada Mei lalu di Taman Lagenda, Padang Serai, Kedah, adalah yang kedua selepas Padang Tembusu di Sungai Petani.

Azizul Adri berkata, sambutan pelanggan di cawangan kedua itu sangat menggalakkan berikutan belum ada rangkaian stimbot di situ, malah ruang makan selesa dan parkir luas menyebabkan restorannya menjadi pilihan pengunjung terutama bersama keluarga.

“Setiap malam kami menerima lebih 200 pelanggan yang mahu menikmati hidangan panas dan masak sendiri ini. Saya dibantu lapan pekerja berikutan tidak cukup tangan pada waktu tertentu terutama pada hujung minggu dan cuti persekolahan.

“Selain merancang membuka cawangan baru pada masa depan, saya mahu mempelbagaikan menu dan bahan di sini mengikut maklum balas pelanggan,” katanya.

Khory Stimbot, Grill & Yong Tau Fu menawarkan hidangan pada harga RM19.90 bagi dewasa, RM17.90 bagi orang kurang upaya (OKU) dan warga emas serta percuma bagi kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah.

Restoran itu dibuka setiap hari bermula jam 5 petang hingga 12 tengah malam dan boleh memuatkan lebih 200 pelanggan satu-satu masa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2016 @ 6:18 AM