SET hidangan nasi daging ialah nasi, daging bakar, air asam, kuah dal sayur dan salad.
SET hidangan nasi daging ialah nasi, daging bakar, air asam, kuah dal sayur dan salad.
Teks dan gambar Nor Hanisah Kamaruzaman

Aroma nasi daging dari dapur yang memenuhi ruang makan terus membangkitkan selera pengunjung yang melangkah masuk ke Restoran Restoran Nasi Daging (RND) di Taman Langat Utama, Banting, ini.

Nasi daging ialah juadah istimewa dari negeri di utara Semenanjung. Nasi biasanya dimasak bersama daging dengan campuran rempah dan dimakan dengan pencecah air asam.

Pertama kali mencuba, penulis tidak dapat melupakan keenakan dan aroma hidangan ini.

Lebih menarik, penyediaan nasi daging di restoran ini mendapat sentuhan pemiliknya sendiri, Cef Norman Musa.

Bagaimanapun, nasi daging dari restoran ini agak berlainan kerana dagingnya tidak dimasak bersama nasi dalam periuk sama.

Sebaliknya, nasi ditumis bersama campuran rempah antaranya lada hitam dan jintan putih untuk menyerlahkan aroma wangi dan serasi bersama air daging.

Campiran rempah itu terlebih dahulu disangai (digoreng tanpa minyak) sebelum dikisar dan ditumis bersama nasi dan dicampurkan air rebusan daging.

Daging yang direbus terlebih dulu kemudian disaluti beberapa rempah lain sebelum dibakar untuk menghasilkan rasa yang sesuai dengan hidangan nasi berkenaan.

Cef Norman, 42, berkata, resipi nasi daging itu diwarisi daripada arwah ibunya yang kemudian diolah untuk menghasilkan resipinya tersendiri.

“Ketika bercadang membuka kedai ini, saya terfikir untuk memasak nasi daging kerana belajar daripada ibu, tapi resipinya saya olah sedikit supaya bersesuaian untuk restoran ini.

“Kakak ipar banyak membantu dalam penyediaan menu ini kerana dia yang menguruskan restoran saya di Banting kerana saya sering berada di luar negara,” katanya.

Pencecah air asam turut menjadi kunci utama kepada hidangan ini kerana ia menjadi pelengkap dan menyatukan semua rasa.

Rasa pencecah air asam RND juga berbeza kerana berperisa kelapa disebabkan ia ditambah kerisik menjadikan air asam seimbang dan tidak terlalu masam atau pedas.

“Air asam ini juga istimewa kerana ia resipi keluarga dan air tangan kakak ipar sendiri kerana setiap hari dia akan pastikan ia dihasilkannya sendiri.

“Selain air asam, kami juga sediakan kuah dal sayur sebagai tambahan kepada pelanggan yang lebih suka nasi berkuah,” kata­nya.

Setiap set hidangan nasi daging didatangkan bersama nasi, daging bakar, air asam, kuah dal sayur dan salad.

“Salad juga kami sediakan kuah istimewa. Bagi memberikan rasa lebih segar kepada salad, kami campurkan daun kemangi dan beberapa bahan lain,” katanya.

Dapur RND yang berkonsep terbuka dengan ruang restoran santai dan mesra pelanggan menyebabkan ia menjadi pilihan kerana suasananya seperti berada di rumah.

Restoran itu turut menawarkan menu lain yang juga sesuai dimakan bersama nasi daging seperti burung puyuh goreng halia dan ayam bakar.

Cef Norman yang berasal dari Pulau Pinang berkata, nasi daging menjadi menu utama restorannya kerana ingin mengetengahkan hidangan itu yang kurang dikenali di Lembah Klang.

“Kita sudah biasa dengan nasi beriani dan nasi ayam tapi jarang mendengar nasi daging, malah ramai yang tidak pernah tahu kewujudannya.

“Ini satu usaha untuk memperkenalkannya selain memberi pengalaman kepada pengunjung merasai nasi daging yang dimasak orang utara sendiri,” katanya.

Restoran ini dibuka dari jam 12 tengah hari hingga 10 malam setiap hari kecuali Isnin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2016 @ 5:22 AM