ANTARA hidangan stimbot yang boleh dipilih dan dinikmati pelanggan.
ANTARA hidangan stimbot yang boleh dipilih dan dinikmati pelanggan.
Teks dan gambar Ainal Marhaton Abd Ghani

Stimbot dapur arang ala Thai dan sos pencicahnya yang meng­gunakan resipi dari utara Thailand menjadi tarikan pelanggan di Restoran Angah­ BBQ Steamboat di Jalan Kampung Tengah, Kuantan, Pahang.

Beriringan pula dengan slogan ‘makan bufet sampai tak larat’, pelanggan boleh menikmati hidangan stimbot sehingga kenyang menerusi pakej pada harga ‘mampu bayar’.

Walaupun pilihan makanan laut, bebola ikan dan daging serta sayur-sayuran masih sama, penggunaan dapur arang atau dalam bahasa Thailand disebut ‘chim chum’ menjadi perbezaan utama.

Inilah keunikan restoran milik Hasrulnizam Azmi, 35, yang dibuka hampir dua tahun lalu.

Katanya, pelanggan boleh menikmati hidangan stimbot itu dalam tempoh antara 10 hingga 15 minit selepas pesanan dibuat kerana penggunaan dapur arang akan mempercepatkan proses rebusan dan memanggang.

“Arang sudah dibakar dan air rebusan sup ayam tersedia dalam periuk dua dalam satu yang direka khas untuk masak stimbot.

“Pelanggan hanya perlu mencurahkan air rebusan pada takat ditetapkan dan memasuk makanan pilihan atau pemanggang di bahagian yang melengkung dengan meletak kulit ayam menggantikan margerin,” katanya.

Selepas 10 minit makanan dimasukkan, penulis sudah boleh menikmati hidangan bersama tiga jenis sos pencicah yang disediakan sendiri isteri Hasrulnizam, Marinah Abdullah yang berasal dari pekan Kumpawapi, Udon Thani, Thailand.

“Kampung isteri di utara Thailand, kira-kira 80 kilometer dari Laos.

“Rempah perapan (ikan pari) dan resipi adalah daripada isteri saya.

“Ketiga-tiga jenis sos boleh dinikmati pelanggan seperti sos manisan lebih diminati kanak-kanak manakala sos seafood digemari golongan dewasa manakala sos kurang pedas dinikmati semua peringkat usia,” katanya yang dibantu lapan pekerja.

Sos seafood pula menggunakan cili padi hijau yang dikisar bersama bawang putih, sos tiram, sos ikan dan sedikit gula manakala sos kurang pedas adalah campuran sos cili, bawang putih dan gula pasir.

“Ketiga-tiga sos ini perlu dimasak dulu dan kuantitinya bergantung kepada pelanggan,” katanya.

Hasrulnizam yang menggunakan 30 dapur arang yang dibeli dari Thailand turut mendapatkan bekalan cili hidup, cili serbuk dan beberapa jenis rempah ratus dari negara berkenaan.

Restoran yang beroperasi dari jam 5.30 petang hingga 11 malam itu menawarkan beberapa jenis makanan laut yang sinonim dengan menu stimbot seperti aneka cangkerang, ikan, ketam, udang, sotong dan ikan pari.

Pihaknya menawarkan pakej buffet pada harga RM19 (dewasa) dan kanak-kanak berusia antara 6 hingga 11 tahun (RM10) manakala kanak-kanak bawah umur lima tahun mendapat hidangan percuma.

Angah BBQ Steamboat turut menyediakan menu sampingan seperti nasi goreng, ketam goreng cili Thai, agar-agar dan cendol selain minuman teh-o yang dipakejkan bersama steamboat.

Tetapi perlu diingatkan, bufet bermakna pelanggan bukan sewenang-wenangnya boleh membuat pembaziran.

“Jika pelanggan gagal menghabiskan stimbot itu, yang berbaki akan ditimbang dan didenda RM10 untuk 100 gram, tetapi kami akan bungkus dan diberikan kepada mereka untuk dibawa pulang,” katanya.

Restoran yang turut menyediakan bilik solat itu boleh memuatkan sehingga 160 pelanggan pada satu-satu masa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2015 @ 2:45 PM