PILIHAN jenis makanan yang boleh dinikmati di Restoran Aniq Steamboat.
PILIHAN jenis makanan yang boleh dinikmati di Restoran Aniq Steamboat.
Teks dan gambar Ainal Marhaton Abd Ghani


Makan sampai lebam! Itu ungkapan paling tepat menggambarkan kehebatan Restoran Aniq Steamboat dengan aura tersendiri yang cukup kuat untuk menarik penggemar stimbot menjamu selera.

Melangkah masuk ke restoran itu, mata pasti terpukau dengan deretan pelbagai jenis makanan laut dan stimbot, sayur-sayuran serta sos pencecah pelbagai warna dan rasa selain minuman dalam balang yang ternyata begitu mengujakan.

Sebaik dapur arang berbara tiba di meja bersama periuk yang turut mempunyai pemanggang di bahagian permukaannya, pelayan restoran terus mencurahkan sup ayam hingga ke takat yang ditetapkan dan aromanya membuatkan sesiapa saja tidak sabar menikmatinya.

Menurut pemiliknya, Mazlida Mohd Noor, 32, sajian stimbot dengan sos pencecah unik dan menyelerakan antara yang membezakan Restoran Aniq Steamboat dengan tempat lain.

Mazlida berkata, restoran itu menyediakan lapan jenis sos pencecah iaitu manis, lada hitam, masam manis, lada hijau, lada kicap, air asam, air lada, cili biasa dan cili Thai.

“Setiap jenis sos kecuali cili biasa dan cili Thai dibuat setiap hari supaya sentiasa segar dalam menambat selera pelanggan,” katanya ketika ditemui di restorannya di Jalan Seri Teruntum 1, Medan Warisan, Kuantan, Pahang, baru-baru ini.

Mengambil contoh sos lada hijau yang menjadi pilihan pelanggan yang ‘kuat pedas,’ Mazlida menggunakan campuran lada hijau yang dikisar dengan air masak terlebih dulu sebelum dimasukkan perahan asam limau dan ketumbar, garam dan bahan perasa.

“Selepas semuanya teradun dan lumat, gula kabung dimasukkan sebelum dikisar sekali lagi untuk lebih sebati. Ia bagi menimbulkan rasa pedas dan manis yang sekata.

“Bagi sos manis pula, kami hanya menggunakan sos manis tersedia dan dicampurkan dengan air panas, gula pasir dan bijan bakar sementara sos masam manis pula membabitkan campuran cuka epal, sos minyak bijan, sos tiram, kicap, Sunquick, air, tepung jagung dan ketumbar,” katanya.

Restoran ini menawarkan lebih 40 jenis bahan mentah termasuk makanan laut yang sinonim dengan menu stimbot seperti ketam, kerang, kepah, udang, sotong selain pelbagai jenis bebola ayam dan ikan, kepingan daging dan ayam, burger, nuget, mi segera, mi kasar, bihun, sayur-sayuran serta aneka cendawan.

Malah dapur berbeku disediakan di tepi pintu masuk untuk pelanggan yang berminat memanggang ayam madu, ikan pari dan ikan kembung.

Sajian sampingan pula termasuk nasi goreng, nasi lemak, nasi minyak, nasi dagang, bihun goreng, mi goreng, puding koktail, ais krim goyang dan aiskrim Malaysia.

Pelbagai jenis minuman seperti teh bunga, sirap, soya, laici, jagung, bandung, minuman bergas serta minuman panas teh-0 dan kopi-0 serta air batu campur (pelanggan buat sendiri) boleh dinikmati tanpa rasa bimbang dikenakan bayaran tambahan.

Aniq Steamboat yang dibuka Mei lalu menawarkan pakej bufet pada RM19 untuk dewasa, kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun dan orang kurang upaya (RM10) sementara RM17 untuk yang memiliki kad pelajar.

Restoran yang ditutup setiap Selasa itu dibuka mulai 5.30 petang hingga 12 tengah malam setiap hari menyediakan 42 meja termasuk empat dikhaskan untuk OKU boleh memuatkan 160 pelanggan pada satu-satu masa.

Mazlida yang dibantu 16 pekerja berkata, setiap hari dia menyediakan 60 kilogram untuk ketam, udang dan sotong sementara 100 kilogram kepah dan kerang untuk memenuhi permintaan pelanggan dalam tempoh tiga hari saja.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2015 @ 2:32 PM