YASMIN menunjukkan set kombo istimewa di Restoran MINT.
YASMIN menunjukkan set kombo istimewa di Restoran MINT.
Ainal Marhaton Abd Ghani

Bagi penggemar makanan Barat pastinya tertarik dengan hidangan istimewa pelbagai jenis masakan berkenaan bersaiz XL dalam satu dulang yang disajikan Restoran MINT di Pusat Rekreasi Air Balok, Kuantan.

Set kombo pertama MINT Mix Grill berharga RM95 mengandungi campuran daging lembu, kambing dan ayam bersama juadah sampingan dengan pilihan sos cendawan atau sos lada hitam, manakala bagi set kombo kedua, Special MINT Roast Chicken iaitu seekor ayam panggang yang dihidang bersama juadah sampingan berharga RM75.

Pemilik restoran, Yasmin Muda, 55, berkata kedua-dua set berkenaan disediakan untuk enam orang dan mampu memenuhi cita rasa pelanggan yang datang bersama keluarga. Pelanggan juga boleh memilih set berasingan termasuk pasta dengan harga antara RM15 dan RM45 setiap hidangan.

“Restoran ini menawarkan konsep hidangan untuk keluarga iaitu apa yang saya masak di rumah ia diolah semula untuk dijadikan sebagai menu di restoran.

“Semua resipi saya cipta sendiri, manakala penyediaan bahan dan masakan dikendalikan anak saudara yang juga tukang masak berpengalaman, Cef Rashidi Hassan,” katanya.

Yasmin berkata, beliau memperuntukkan kira-kira 40 ayam seminggu untuk memenuhi permintaan pelanggan yang menggemari sajian ayam panggang dan jumlahnya bertambah pada hujung minggu dan cuti perayaan.

Restoran MINT juga menyediakan minuman kesihatan berasaskan herba dan buah-buahan segar ala ‘mocktail’ seperti gabungan buah tembikai susu dan oren, tembikai madu dan ceri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2017 @ 12:29 AM