MCCLEAN (kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan.
MCCLEAN (kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan.
AFP

Paris: Republik Ireland mengejutkan Austria 1-0 di Vienna untuk berada di puncak kumpulan kelayakan Piala Dunia tetapi Iceland gagal mengulang aksi hebat mereka pada Euro 2016 apabila tewas 0-2 kepada Croatia, awal pagi semalam.

Ireland berjaya memintas Serbia dalam Kumpulan D hasil jaringan James McClean tiga minit selepas separuh masa kedua, menyebabkan Austria berdepan kekecewaan pada kempen Piala Dunia kali ini.

Croatia, di tangga pertama Kumpulan I, berdepan Iceland dengan kedudukan pendahulu menjadi rebutan.

Croatia meraih gol pendahuluan selepas 15 minit menerusi pemain tengah Inter Milan Marcelo Brozovic, namun Iceland menguasai perlawanan di Zagreb, yang mana perlawanan diadakan di stadium kosong selepas berdepan hukuman FIFA.

Perlawanan itu ditutup kepada orang awam sebagai hukuman berikutan tindak laku tidak sopan penyokong Croatia sewaktu kelayakan Piala Dunia menentang Kosovo, 6 Oktober lalu.

Iceland, yang mengejutkan dunia bola sepak dengan menewaskan England 2-1 untuk mara ke suku akhir Euro 2016, bertekad mahu membalas dendam kerana Croatia menghalang mereka untuk muncul kali pertama di Piala Dunia, tewas tipis untuk ke Brazil 2014.

Biarpun menguasai bola pada kedua-dua separuh masa, Iceland gagal mencari jaringan.

Tuan rumah menghukum mereka pada masa kecederaan apabila Brozovic sekali lagi menjaringkan gol Croatia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2016 @ 8:43 AM