PERSIAPAN skuad Iceland untuk menghadapi Republik Czech.
PERSIAPAN skuad Iceland untuk menghadapi Republik Czech.
Reuters

London: Pasukan yang mengejutkan ramai pihak, Iceland, Ireland Utara dan Slovakia akan cuba untuk melakar kemenangan keempat berturut-turut pada aksi kelayakan Euro 2016 yang bersambung minggu ini.

Iceland yang meledak lapan jaringan selain tidak melepaskan sebarang gol dalam Kumpulan A, bertandang ke Plzen sambil berharap dapat menjadikan Republik Czech sebagai mangsa terbaru selepas sebelum ini mengalahkan Turki, Latvia serta Belanda.

Ireland Utara yang mengetuai Kumpulan F selepas menang ke atas Hungary, Kepulauan Faroe serta Greece, akan ke Romania manakala pendahulu Kumpulan B, Slovakia beraksi di Macedonia.

Dengan 23 daripada 53 pasukan akan menyertai tuan rumah, Perancis di Euro 2016, aksi kelayakan yang bermula September lalu pernah dianggap sebagai medan pemanas badan buat pasukan besar Eropah.

Begitupun, Jerman, Sepanyol serta Belanda kelihatan bergelut dan semakin ramai yang menganggap beberapa pasukan baru bakal beraksi pada pusingan akhir nanti.

Jerman ditewaskan Poland bulan lalu manakala Albania menang di Portugal. Cyprus yang jarang menjaringkan gol, berjaya bangkit untuk menang 2-1 di Bosnia.

Aksi Romania menentang Ireland Utara turut menampilkan dua pasukan yang belum tewas dan mereka berpeluang untuk kembali beraksi di pusingan akhir kejohanan utama selepas lama tidak berbuat demikian.

Romania gagal melangkah ke kejohanan utama sejak Euro 2008 manakala Ireland Utara gagal melangkah ke pusingan akhir sejak Piala Dunia 1986.

Pendahulu Kumpulan C, Slovakia muncul pilihan untuk menang ke atas Macedonia, awal pagi Ahad dan mereka tidak pernah tewas sepanjang enam pertemuan menentang pasukan itu sebelum ini.

Sepanyol yang mengumpul enam mata, perlu menang ke atas Belarus yang kini dibimbing jurulatih sementara Andriy Zygmantovic selepas Georgi Kondratiev meletakkan jawatan.

Azerbaijan turut dikendalikan jurulatih sementara Makhmud Gurbanov untuk pertemuan menentang Norway dalam Kumpulan H selepas Berti Vogts meletakkan jawatan apabila anak buahnya dikalahkan 6-0 oleh Croatia.

Satu lagi pertemuan menarik pastinya membabitkan Itali yang dibimbing Antonio Conte, bertemu Croatia - kedua-dua pasukan hanya menang sekali setakat ini dalam Kumpulan H.

England turut berharap dapat melakar kemenangan bersih apabila melayan kunjungan Slovenia dalam Kumpulan E, pertemuan pertama kedua-dua pasukan sejak Piala Dunia 2010.

Pasukan yang dianggap gergasi, tidak mempunyai pilihan kecuali menang.

Jerman yang hanya mengumpul empat mata hasil tiga perlawanan dalam Kumpulan D, perlu mengatasi Gibraltar manakala Belanda yang tewas dua perlawanan Kumpulan A, melayan kunjungan Latvia.

Greece yang hanya mengumpul satu mata dalam Kumpulan F, berdepan Kepulauan Faroe.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 November 2014 @ 5:06 AM