JEFRI (dua dari kanan) jangka bilangan atlet tidak banyak berubah sebelum memasuki fasa ketiga Program Podium.
JEFRI (dua dari kanan) jangka bilangan atlet tidak banyak berubah sebelum memasuki fasa ketiga Program Podium.
Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) tetap mengutamakan kualiti dalam mempersiapkan atlet negara untuk menghadapi Sukan SEA di Kuala Lumpur tahun depan.

Pemangku Pengarah Bahagian Atlet MSN Jefri Ngadirin, menjelaskan seramai 829 atlet mewakili 38 sukan kini berada dalam fasa kedua program Kita Juara bagi menghadapi Sukan SEA 2017.

Malaysia menjadi tuan rumah temasya dwitahunan berkenaan yang dijadualkan berlangsung pada Ogos dengan sasaran muncul juara keseluruhan.

“Sebagai tuan rumah, kami mengutamakan kualiti berbanding kuantiti. Bagi berada dalam program, kami mempunyai kriteria yang ketat perlu dipenuhi.

“Kriteria paling rendah adalah menyamai sekurang-kurangnya pencapaian pemenang gangsa Sukan SEA Singapura tahun lalu,” katanya.

Jumlah atlet fasa kedua (Oktober 2016 ke Mac 2017) menyaksikan penambahan berbanding fasa pertama yang bermula dari September 2015 hingga September 2016 membabitkan 772 atlet.

“Ada atlet digugurkan dan ada juga ditambah. Mereka membabitkan daripada atlet pelapis, negeri dan SUKMA.

“Bagaimanapun, kita menjangkakan jumlah (atlet fasa kedua) tidak akan banyak berubah menuju ke fasa tiga yang bermula pada April kerana meramalkan mereka layak ke temasya Sukan SEA ke-29 nanti,” tambahnya.

Antara 38 jenis sukan dipertandingkan pada Sukan SEA tahun depan adalah olahraga, renang, badminton, bola sepak, berbasikal, pencak silat, pelayaran dan menembak membabitkan sejumlah gelanggang di sekitar Lembah Klang dan beberapa lokasi lain.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2016 @ 5:35 AM