KEADAAN terkini pada bahagian luar  Kompleks Sukan Bukit Jalil.
KEADAAN terkini pada bahagian luar Kompleks Sukan Bukit Jalil.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Esok genap 100 hari Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 akan berlangsung dan penganjur kini dalam detik akhir persiapan menjelang temasya sukan terbesar di Asia Tenggara itu dari 19 hingga 30 Ogos.

Bagi atlet dan jurulatih, sudah pasti debaran semakin terasa meskipun persiapan rapi sudah dilakukan sejak September 2015.

Kontinjen negara kini memasuki fasa ketiga yang juga fasa terakhir program Kita Juara, dibentuk khusus untuk mencapai sasaran muncul juara keseluruhan Sukan SEA edisi kali ini.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata fasa ketiga itu tempoh paling sibuk dan penting kepada MSN dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk mempersiapkan kontinjen negara.

Bagi atlet dan jurulatih, katanya fasa itu tempoh untuk mereka lebih berhati-hati mengelak sebarang kecederaan dan terjebak dengan aktiviti yang boleh menyekat mereka daripada mewakili negara ke temasya sukan dwitahunan itu. “Program fasa akhir ini, atlet kita akan melalui proses simulasi untuk memantapkan teknik dan taktik dalam acara masing-masing dan paling penting adalah untuk elak daripada kecederaan menjelang Sukan SEA.

“Fasa ini juga akan membabitkan kem latihan fasa akhir, proses pemilihan MOM dan beberapa isu berkaitan pengurusan kontinjen,” katanya semalam.

Dalam pada itu, Ahmad Shapawi mengingatkan atlet terus fokus dan memberi tumpuan kepada persiapan ke Sukan SEA dan mengelak daripada melakukan aktiviti memudaratkan. “Kami masih yakin dan bersemangat mencapai sasaran ditetapkan dengan muncul juara keseluruhan dan kita berharap kontinjen negara juga sudah bersiap sedia,” katanya. Untuk rekod, Malaysia muncul juara keseluruhan pada 2001 ketika menjadi tuan rumah dengan kutipan 111 pingat emas, 75 perak dan 85 gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mei 2017 @ 9:24 AM