ABDUL Jalil (kanan) bersama Pemangku Pengarah Bahagian Atlet MSN Jefri Ngadirin  melihat risalah program Kita Juara 2017.
ABDUL Jalil (kanan) bersama Pemangku Pengarah Bahagian Atlet MSN Jefri Ngadirin melihat risalah program Kita Juara 2017.
Oleh Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) memperuntukkan perbelanjaan besar membabitkan tiga fasa persediaan atlet dalam memastikan program Kita Juara pada temasya Sukan SEA 2017 mampu direalisasikan.

Sebanyak RM43 hingga RM45 juta diperuntukkan sebagai kos persediaan atlet untuk fasa pertama yang bermula pada September 2015 hingga September 2016 membabitkan 39 jenis sukan dan 842 atlet (577 sepenuh masa dan 265 berfasa).

Pemangku Ketua Pengarah MSN Datuk Abdul Jalil Abdullah berkata, jumlah itu bagaimanapun dijangka bertambah apabila persediaan atlet memasuki fasa kedua pada Oktober 2016 hingga Mac 2017 dan fasa ketiga (April hingga September 2017).

Katanya, daripada peruntukan itu RM11 juta disediakan untuk pembayaran elaun atlet selepas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan kenaikan elaun baru-baru ini.

Turut terbabit dalam program Kita Juara adalah 11 pengarah teknikal, jurulatih luar negara (59), jurulatih sepenuh masa (80), jurulatih sambilan (14) dan anggota sokongan (13).

“Pihak KBS (Kementerian Belia dan Sukan) sudah mengadakan perbincangan dengan 38 persatuan sukan kebangsaan pada 1 Jun lalu sebagai persediaan awal untuk persiapan kontinjen negara ke arah program Kita Juara.

“Seramai 842 atlet dikenal pasti berada di bawah program itu terbabit dalam menjalani latihan fasa pertama program ini, hasil perbincangan bersama persatuan sukan kebangsaan.

“Pemilihan atlet pula dilakukan berdasarkan kriteria pemilihan ditetapkan. Sebagai contoh kita mengambil kira pemenang pingat Sukan SEA 2015, Sukan Asia dan Komanwel, kejohanan remaja Asia dan dunia selain perlu berada dalam ranking 16 terbaik dunia atau lapan terbaik Asia di samping menduduki kelompok lima terbaik Asia Tenggara,” katanya.

Terdahulu Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengumumkan penambahan jumlah 37 kepada 39 jenis sukan, namun senarai akhir acara akan dipertandingkan hanya diumumkan pada Februari tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2015 @ 5:50 AM