Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KKIA) Batu Gajah ditutup hari ini. FOTO Yahya Zain
Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KKIA) Batu Gajah ditutup hari ini. FOTO Yahya Zain
Mohd Hafizee Mohd Arop


Batu Gajah: Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KKIA) Batu Gajah ditutup sejak pagi tadi selepas berlaku kebocoran cecair kimia jenis Cresol menyebabkan 21 kakitangan mengalami simptom keracunan bahan kimia.

Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Juita Ghazalie berkata, Pejabat Kesihatan Daerah Kinta menjalankan siasatan ke atas klinik kesihatan itu selepas beberapa kakitangan mengalami simptom keracunan bahan kimia sejak awal Julai lalu.

Katanya, antara simptom dialami, batuk, selsema, sakit tekak, sakit kepala serta sesak di dada dan hasil siasatan mendapati punca keracunan ini adalah disebabkan oleh kebocoran cecair Cresol sebanyak 50 peratus.

Menurutnya, pihaknya kemudiannya menghubungi bomba termasuk Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) dihubungi kira-kira 10.30 pagi tadi bagi mendapatkan nasihat teknikal sebelum kerja pembersihan kawasan sekitar dijalankan secara bersama.

Dr Juita berkata, cecair Cresol iaitu sejenis bahan disinfenktan untuk menyahkuman di persekitaran klinik itu dipercayai mengalami kebocoran sebelum didapati meresap melalui konkrit dari tong bahan kimia yang bocor.

"Semua kakitangan yang mengalami simptom berkenaan mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan, Hospital Batu Gajah dan kesemua mereka dalam keadaan stabil serta tiada kemasukan ke wad.

"Operasi klinik akan bermula esok selepas kawasan berkenaan disahkan selamat oleh bomba," katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Julai 2016 @ 6:11 PM