Yasmin  bersama ahli panel selepas merasmikan Level Up KL 2016, semalam.
Yasmin bersama ahli panel selepas merasmikan Level Up KL 2016, semalam.
Afiq Hanif

Kuala Lumpur: Eksport kandungan permainan Malaysia melonjak kepada RM80 juta tahun lalu, meningkat 75 peratus berbanding 2014 disokong penerimaan menggalakkan daripada industri permainan global.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Yasmin Mahmood berkata, pertumbuhan itu mencerminkan potensi negara menjadi hab permainan serantau menjelang 2025.

“Momentum sudah ada...kita mendapat pengiktirafan daripada industri permainan global,” katanya pada Persidangan Permainan Tahunan Asia Tenggara, Level Up KL, di sini, semalam.

Beliau berkata, Malaysia menyasarkan menjadi hab serantau bagi industri permainan dan mendapat rangsangan daripada pertumbuhan kukuh industri berkenaan di rantau ini.

“Pasaran permainan video Asia Tenggara membentuk empat peratus daripada penggunaan global dan ia dijangka berkembang pesat berbanding rantau lain dalam tempoh terdekat ini,” katanya.

Yasmin berkata, dipacu peningkatan pesat akses Internet dan pemilikan peranti teknologi maklumat dan komunikasi, pasaran rantau ini dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul 30 peratus antara 2015 hingga 2018, pertumbuhan paling pantas dalam kalangan mana-mana rantau manakala pertumbuhan global dianggarkan pada tujuh peratus.

“Pasaran permainan Asia Tenggara diunjur mencecah AS$2.8 bilion menjelang 2018,” katanya.

Dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai hab permainan, MDEC pada Mac 2015 bekerjasama dengan GameFounders, accelerator permainan pertama di Eropah untuk membawakan accelerator perniagaan serantau ke Malaysia.

MDEC komited membuka ruang dan peluang bagi tenaga kerja Malaysia dalam industri permainan. Berdasarkan Prospek Hiburan dan Media PriceWaterHouseCoopers Global 2013-2017, pasaran permainan Malaysia bernilai RM727 juta pada 2013 dan dijangka berkembang 20 peratus kepada RM868.70 juta menjelang 2017.

Persidangan lima hari itu anjuran MDEC yang bermula 5 November menarik lebih 500 peserta termasuk pemaju permainan, pelabur, penerbit permainan dan penyedia teknologi daripada industri permainan tempatan dan antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2016 @ 7:44 AM