ORANG ramai mengunjungi ternakan Mohd Fairus.
ORANG ramai mengunjungi ternakan Mohd Fairus.
ARNAB yang diternak.
ARNAB yang diternak.
MOHD Fairus melakukan kerja memproses daging arnab untuk dijual.
MOHD Fairus melakukan kerja memproses daging arnab untuk dijual.
MOHD Fairus turut menternak kambing.
MOHD Fairus turut menternak kambing.
Safuri Kamarudin

Tanpa ijazah dan hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) namun keazaman tinggi serta tidak mahu sekadar bekerja makan gaji, membuatkan individu ini nekad menjadi penternak kambing, arnab dan ayam kampung berjaya.

Bermodalkan RM3,000, Mohd Fairus Ibrahim, 30, memulakan perniagaan sejak dua tahun lalu dan kini berbangga hasil wang jualan haiwan mampu menyara dia sekeluarga.

Mohd Fairus berkata, dia mula menternak arnab dan kambing secara kecil-kecilan dan membahagikan masa dengan kerjanya di kilang.

“Saya tidak berpeluang melanjutkan pelajaran selepas SPM kerana dihimpit kemiskinan dan sekadar bekerja di sebuah kilang di Kulim, Kedah selepas tamat persekolahan.

“Selepas berjaya mengumpul wang saya membina tempat pemeliharaan arnab dan bangsal kambing secara kecil-kecilan.

“Saya bertekad ingin berjaya suatu hari nanti,” katanya yang ditemui di Kampung Dusun Raja, Bongor, Baling, baru-baru ini.

Menurutnya dalam tempoh dua tahun ini, dia berjaya memelihara 40 ekor kambing, 200 arnab dan 100 ekor ayam kampung.

“Saya berminat dalam bidang ternakan menyebabkan pekerjaan sambilan itu begitu menyeronokkan untuk terus diceburi. Walaupun saya masih bekerja kilang tetapi rutin menjaga haiwan itu tetap terurus.

“Saya kena pandai membahagikan masa supaya kedua-dua kerjaya itu tidak terabai dan merugikan. Ia adalah sumber pendapatan saya sekeluarga, “katanya.

Katanya, apabila dia keluar bekerja tanggungjawab untuk memberi makan dan menjaga ternakannya dibantu isteri, Nor Naimah Sulaiman, 28, dan bapa, Ibrahim Yaakob, 69.

“Kambing saya jenis baka kampung berusia dua tahun dijual dengan harga antara RM800 hingga RM1,000 seekor mengikut musim dan permintaan pelanggan.

“Sementara arnab dijual hingga RM150 sepasang kerana kebanyakan yang dipelihara adalah baka dari New Zealand,” katanya.

Mohd Fairus berkata, dia juga menjual arnab yang dijadikan sejuk beku apabila mendapat permintaan dari restoran di kawasan utara.

“Selain itu, saya juga menjual tinja arnab sebagai baja tanaman kerana kualitinya sangat baik terutama untuk sayur-sayuran,” katanya.

Malah beliau turut memohon untuk mendapat bantuan daripada mana-mana agensi pertanian bagi memperluaskan ternakan itu termasuk bantuan makanan dan peralatan membuat sangkar.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Noor Azmi Ramli berkata, dia menyokong permohonan itu kerana kesungguhan Mohd Fairus menjalankan projek ternakan secara komersial.

“Sokongan dan semangat harus terus diberikan buat anak muda ini yang bersunguh-sungguh menceburkan diri dalam dunia penternakan.

“Saya akan terus membantu mana-mana anak muda yang berminat dalam pertanian terutama mereka yang melakukan projek secara berkelompok,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2016 @ 11:22 AM