Nazdy Harun


Marang: Minat mendalam dalam dunia ternakan sejak kecil mendorong seorang pemuda menjadikan bidang berkenaan yang mempunyai prospek untuk berkembang sebagai sumber pendapatannya sejak enam tahun lalu.

Wan Mohammad Muttaqim Wan Muda, 26, dari Kampung Rhu Muda, di sini, berkata bermodalkan RM20,000, dia kini menternak kambing baka, lembu, arnab dan burung budgie di kawasan rumahnya.

"Setiap pekerjaan pasti memperoleh hasil sekiranya dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan saya menganggarkan mampu memperoleh RM4,000 hingga RM5,000 dalam sebulan hasil jualan ternakan berkenaan.

"Banyak ilmu penternakan perlu dipelajari dan saya sering mengunjungi penternak sama ada di dalam negeri mahupun di luar bagi mendapatkan input berkaitan," katanya yang juga bekas pelajar Institut Teknologi Unggas Jabatan Perkhidmatan Veterinar di Masjid Tanah, Melaka.

Menurutnya, haiwan ternakan yang dipelihara mampu menjana pendapatan kerana lembu, kambing, arnab mempunyai permintaan manakala burung pula dijual kepada kedai menjual haiwan hiasan.

Katanya, walaupun pernah ditipu dalam pembelian kambing secara dalam talian, dia tidak pernah serik untuk terus berkecimpung dalam bidang ternakan.

"Haiwan ternakan mudah untuk dijual kerana sememangnya mempunyai pasaran dan saya bercadang untuk memperluaskan perniagaan ini secara berperingkat kerana potensinya luas.

"Penternakan adalah satu bidang yang boleh diceburi anak muda kerana mampu menjana pendapatan sekiranya diusahakan dengan teknik yang betul," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 September 2022 @ 11:20 AM
Wan Mohammad Muttaqim melihat haiwan ternakan yang dipeliharanya. FOTO NAZDY HARUN
Wan Mohammad Muttaqim melihat haiwan ternakan yang dipeliharanya. FOTO NAZDY HARUN