Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Serangan harimau kumbang, sejak dua minggu lalu, menyebabkan lebih 75 kambing peliharaan dua penternak di Kampung Batu Hitam, di sini, mati.

Haiwan berkenaan bertindak menyerang dan membunuh kambing yang dilepas bebas dan berada di dalam kandang, selama beberapa malam.

Seorang penternak, Wan Mohd Suffian Wan Mohmad, 47, berkata, dia kerugian kira-kira RM24,000 apabila 30 kambing baka boer peliharaannya mati diserang harimau kumbang itu.

Katanya, haiwan liar berkenaan turut membunuh lebih 20 ayam.

Pada mulanya, dia menyangka perbuatan itu dilakukan kumpulan anjing liar.

Namun, ia terjawab selepas pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang mengesahkan kematian kambing akibat perbuatan harimau kumbang.

"Serangan pertama harimau kumbang membabitkan 21 kambing, saya terkejut melihat ternakan saya mati beberapa meter dari kawasan kebun. Haiwan itu menyerang kambing pada malam ketika kambing keluar mencari makan.

"Beberapa hari selepas itu, serangan kedua berlaku. Kali ini, harimau kumbang terbabit menceroboh kandang kambing untuk membunuh sembilan lagi kambing.

"Saya mempunyai tiga anjing baka Rottweiler untuk mengawal musuh kebun. Pada malam kejadian, anjing berkenaan seolah-olah tidak dapat menghalang harimau kumbang itu," katanya, di sini semalam.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Pahang, Rozidan Md Yasin, berkata pihaknya menerima aduan berhubung kejadian daripada penternak kambing, pada 17 Julai lalu.

Menurutnya, pihaknya sudah memasang perangkap dengan umpan kambing pada Rabu lalu.

"Saya juga menasihatkan kepada penternak kambing di kawasan terbabit supaya menempatkan haiwan ternakan dalam kandang bagi mengelak serangan harimau kumbang itu," katanya, dihubungi di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2023 @ 10:06 AM
Penternak kambing, Wan Mohd Suffian Wan Mohmad kerugian RM24,000 selepas 30 kambing miliknya dibaham harimau kumbang. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Penternak kambing, Wan Mohd Suffian Wan Mohmad kerugian RM24,000 selepas 30 kambing miliknya dibaham harimau kumbang. FOTO MOHD RAFI MAMAT