PEMINAT koleksi militer mini kini ada tempat untuk berkongsi cerita.
PEMINAT koleksi militer mini kini ada tempat untuk berkongsi cerita.
SAFNIZAM puas hati dapat tatap model kesayangannya.
SAFNIZAM puas hati dapat tatap model kesayangannya.
LEKA Firdaus menatap model terdapat di galeri mini jualan Hobby Diecast Depot Cafe milik Fitri bersama saudaranya.
LEKA Firdaus menatap model terdapat di galeri mini jualan Hobby Diecast Depot Cafe milik Fitri bersama saudaranya.
FITRI bersama sebahagian ‘aset negara’ miliknya.
FITRI bersama sebahagian ‘aset negara’ miliknya.
Nurul Husna Mahmud

mykomuniti

[email protected]

Sebelum ini pemilik ‘Hobby Diecast Depot Cafe’ Muhammad Fitri Abdul Hakim sanggup melepak di kedai mamak bersama teman sehingga awal pagi semata-mata berkongsi cerita mengenai koleksi militer mini dimilikinya.

Kini lokasi perjumpaan dia bersama komuniti militer sudah beralih ke galeri jualan mini miliknya di Sunway Nexis Mall Kota Damansara, Selangor sejak tiga bulan lalu.

Begitu teliti anak muda yang berasal dari Alor Setar, Kedah mempamer pelbagai aset milik anggota keselamatan negara dalam kotak kaca memenuhi ruang galeri itu.

Kata Fitri, apabila berkumpul sambil membawa koleksi sendiri kemudian ada rakan bertanyakan model dimiliki, membuatkan dia leka dan perbualan mengenai koleksi itu tidak pernah menjemukan.

Katanya, hobi itu terbit atas dasar pernah menyimpan hasrat bergelar anggota pasukan keselamatan negara tetapi tidak kesampaian.

“Saya gemar melihat aset anggota keselamatan negara terutama milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kerana kecenderungan terhadap pesawat. Saya kagum dengan aset terbabit. Malah koleksi milik peribadi antaranya dimiliki TUDM antara paling saya sayang.

“Antara model jet pejuang saya miliki TUDM Airbus A400M Atlas, Milconyan MIG-29NUB dan edisi terhad ialah TUDM ‘M43-01’ mempunyai nombor sirinya,” katanya turut menjual koleksi militer menerusi dalam talian.

Sementara itu, peminat tegar koleksi militer Mohd Safnizan Saadon berkata, tekanan serta penat kerja serta-merta hilang sebaik melihat koleksi terpamer di rak.

Katanya, yang mula mengumpul model berkenaan sejak empat tahun lalu kini sudah memiliki lebih 50 model.

“Minat saya sudah lama, maklumlah bapa dulu anggota keselamatan. Sering nampak kenderaan mereka pakai. Masalahnya ketika itu tidak mampu dan apabila sudah bekerja minat itu bercambah. Seringkali terjadi beli punya pasal tidak sedar terlebih bajet tetapi bagi saya tidak rugi kerana apabila jemu saya jual kepada pengumpul lain.

“Penting kita cari serta kenal kawan untuk dapat ilmu berkenaan hobi ini. Setidak-tidaknya tidak akan ditipu dan tahu model terkini serta pembuat yang jauh lebih baik,” katanya.

Bagi pembuat model militer Ahmad Firdaus Azmi, 38, kepuasan dinikmati hanya setelah melihat model mini itu siap dipamerkan.

“Bagi saya untuk membeli bukan cabaran sebaliknya menyiapkan kit sehingga jadi model siap itu masalah sebenarnya. Maklumlah kalau dulu pasaran terhad hanya Jepun dan China tidak banyak jenama, kini tampak pengilang berlumba-lumba membuatkan banyak model baru berkualiti boleh didapati pada harga berpatutan,” katanya.

Tambah Firdaus, meskipun hobi itu menagih sedikit ruang dan waktu, dia tidak berasa ia membebankan.

“Saya ada bilik khas letakkan kit dan masih banyak lagi kotak kit tidak dibuka. Maklumlah sudah bekerja serta mempunyai pendapatan sendiri, isteri tidak bising selagi kita tahu batas kewangan serta peruntukan masa sesuai contohnya perjumpaan petang hujung minggu,” katanya.

Pembuat model dari Gombak Selangor Ashaabul Kahfi Zamri menyifatkan hobi berkenaan bukanlah sia-sia sebaliknya menjana pendapatan sampingan.

“Ia bukannya melepak kosong sebaliknya ia ruang untuk saya mendalami skil membuat model sesuatu aset itu. Saya menawarkan servis perlulah membuat kajian sebelum menghasilkan sesuatu. Sebagai contoh kereta perisai. Kalau maklumat terbabit terlalu sulit, saya ikhtiar lain contohnya Internet mahupun galeri dapat membantu saya mendapatkan spesifikasi betul.

“Selain itu permintaan pelanggan juga bagi saya mencabar. Ada mahukan kesan khas memerlukan visual mengenai sesuatu peristiwa berkaitan aset berkenaan.

“Ia bukan semata-mata mengenai model sebaliknya cerita di sebalik kisah aset mini itu menjadi nilai penting sebagai anak muda negara ini untuk tahu mengenainya. Jadi tidak timbul hobi ini pelaburan sia-sia sebaliknya mendedahkan kita mengenai skil serta sejarah selain persahabatan menerusi komuniti ini,” katanya.

PROFIL:

Nama: Ahmad Firdaus Azmi

Umur: 38 tahun

Asal: Kuala Lumpur

Nama: Ashaabul Kahfi Zamri

Umur: 26 tahun

Asal: Gombak, Selangor

Nama: Muhammad Fitri Abdul Hakim

Umur: 25 tahun

Asal: Alor Setar, Kedah

Nama: Mohd Safnizam Saadon

Umur: 32 tahun

Asal: Kuala Pilah, Negeri Sembilan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 January 2017 @ 5:00 AM