JALUR Gemilang berkibar megah di dalam lautan.
JALUR Gemilang berkibar megah di dalam lautan.
BIARPUN keletihan masing-masing puas hati dengan pemandangan yang menakjubkan.
BIARPUN keletihan masing-masing puas hati dengan pemandangan yang menakjubkan.
Oleh Mohd Sharumnisham Shahbudin

Pelbagai cara ditunjukkan rakyat Malaysia dalam menzahirkan semangat nasionalisme dan kecintaan kepada negara sempena sambutan Hari kebangsaan setiap tahun.

Ada yang menyambutnya di puncak Gunung Kinabalu dan ada yang menyertai konvoi kibar Jalur Gemilang eluruh negara.

Namun, bagi sekumpulan penyelam dari Kelab Kebajikan dan Sukan Hasil Dalam Negeri Kuala Lumpur dan Kelab Hasil Tawau, mereka mempunyai aktiviti tersendiri dalam menzahirkan semangat itu.

Memilih aktiviti menyelam di dasar laut Pulau Mabul, Sipadan dan Kapalai di Semporna, Sabah, rombongan yang diketuai Presidennya, Datuk Mohd Nizom Sairi berjaya meng­abadikan kenangan bersama Jalur Gemilang dan bendera jabatan bertemankan keindahan hidupan marin baru-baru ini.

Peserta terdiri daripada pegawai bertugas di Ibu Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) Cyberjaya dan Pejabat Cawangan LHDNM Tawau dan Sandakan.

Menurut penyeleras program, Mohd Faisol Ahmad, idea ini timbul apabila ahli kelab memikirkan aktiviti yang mempu­nyai kelainan bagi sambutan kemerdekaan. Malah, pemilihan lokasi ini juga mempunyai signifikan yang tersendiri.

“Kita sedia maklum kawasan ini dikenakan perintah berkurung kerana pencerobohan pengganas pada tahun 2013.

“Jadi kejayaan mengibarkan Jalur Gemilang di kawasan yang dikenakan perintah berkurung ini pastinya memberikan satu kepuasan yang tidak terkata,” katanya.

Kegembiraan yang sama dikongsi rakannya, Noorrul Waheedah Ahmad Jamaludin yang mengakui teruja dengan kecantikan dunia bawah laut Pulau Mabul yang menjadikan sambutan Hari Kemerdekaan negara cukup bermakna buat dirinya.

“Setiap tahun saya dan rakan mempunyai aktiviti bagi memeriahkan sambutan Hari Kemerdekaan tapi kali ini ia cukup berbeza.

“Ini kerana, ia antara sambutan kemerdekaan yang mencabar pernah saya sambut disebabkan perlu berhadapan dengan fenomena air pasang besar biarpun sudah lebih 60 kali saya terbabit aktiviti menyelam.

“Mujurlah dengan kerjasama dan pengalaman, saya dapat me­ngelakkan daripada terus hanyut hingga ke perairan Filipina dan mengibarkan Jalur Gemilang dengan megah,” katanya

Sementara itu, bagi penyelam tempatan, Mohd Sharif Mahmud dari Kelab Hasil Tawau, amat mengalu-alukan kehadiran penyelam dari Semenanjung kerana perairan terbabit antara destinasi terbaik dunia serta diiktiraf oleh penyelam dan pelancong asing.

“Biarpun kawasan ini masih di bawah perintah Kawasan Keselamatan Khas Sabah atau ESSCOM, keselamatan terjamin kerana pihak berkuasa sentiasa mengawal daripada kejadian yang tidak diingin.

“Di samping dapat mengeratkan silaturahim sesama peserta, program ini juga dapat mempromosikan lagi Pulau Mabul dan Sipadan,” katanya.

Seorang lagi penyelam, Hairul Baharin Burhan berkata, perasaan teruja masih ada meskipun kali kedua mengunjungi lokasi sama untuk meraikan Hari Kemerdekaan.

“Ini kali kedua saya dan rakan menyelam di sini sempena merdeka selepas melakukannya pada tahun lepas.

“Perasaan teruja dapat menyelam masih wujud kerana kami meraikan ulang tahun kemerdekaan negara dengan cara berbeza yakni di bawah laut. Saya cukup bangga dan terharu kerana simbolik kebebasan membenarkan kami membuat aktiviti kami sukai seperti sukan skuba,” katanya.

Beliau yang aktif menyelam sejak 2009 mengakui keindahan hidupan marin menyebabkan dia tidak menolak jika berpeluang menyelam di situ.

“Kepulauan di daerah Samporna ini menjadi pilihan ramai penyelam kerana ia boleh dikunjung sepanjang tahun berbanding pulau lain di Semenanjung yang ditutup pada musim monsun.”

Malah, dia merancang untuk kembali lagi ke sini pada tahun hadapan dan memilih untuk meneroka pulau yang kurang diketahui ramai, seperti Pulau Amil dan Selakan pula.

Sementara itu, bagi Chua Tian Siang, aktiviti sebegini mampu memupuk konsep 1Malaysia dalam kalangan peserta.

“Pada program kali ini, seramai tiga penyelam berketurunan Cina dan seorang India bersama-sama bersatu menjayakan misi ini.

“Ini sudah cukup membuktikan bahawa kita semua mampu hidup bersama walaupun berlainan bangsa dan agama dan boleh menjayakan sesuatu jika bersatu,” katanya.

Selain menyelam, peserta juga berpeluang menyelami kehidupan masyarakat Bajau Laut yang tinggal di sekitar perairan tersebut.

Ini membuktikan, walaupun dipisahkan oleh Laut China Selatan, semangat patriotisme antara penduduk di Sabah dan Sarawak serta Semenanjung Malaysia sentiasa dipererat bagi menjamin keamanan dan kemakmuran negara ini berkekalan.

PROFIL:

Nama: Mohd Faisol Ahmad

Umur: 39

Pekerjaan: Pegawai LHDNM

Asal: Kedah

Nama: Chua Tian Siang

Umur: 37

Pekerjaan: Penolong Pengarah

Asal: Kedah

Nama: Noorrul Waheedah Ahmad

Umur: 33

Pekerjaan: Pegawai Eksekutif

Asal: Melaka

Nama: Mohd Sarif Mahmud

Umur: 39

Pekerjaan: Pegawai LHDNM

Asal: Sabah

Nama: Hairul Baharin Burhan

Umur: 37

Pekerjaan: Penjaga Jentera Elektrik

Asal : Negeri Sembilan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 September 2015 @ 5:01 AM