BIARPUN pagar disusun nampak mudah, jika tersilap membaca peta, checkpoint yang betul sukar ditemui.
BIARPUN pagar disusun nampak mudah, jika tersilap membaca peta, checkpoint yang betul sukar ditemui.
PESERTA Malaysia Maze Run Challenge bersemangat memulakan larian.
PESERTA Malaysia Maze Run Challenge bersemangat memulakan larian.
Mohd Sharumnisham Shahbudin


Hanya berbekalkan sekeping peta, lebih 200 peserta dari seluruh negara bertungkus-lumus menamatkan perlumbaan Malaysia Maze Run Challenge yang berlangsung dipadang awam Parit Buntar, Perak, baru-baru ini.

Biarpun halangan dibina penganjur kelihatan mudah, andai kurang kemahiran membaca peta dan navigasi yang salah, peserta pasti tidak bertemu ‘checkpoint’ (CP) yang ditetapkan.

Menurut pengarah teknikal pertandingan, Aswadi Aslah, setiap peserta perlu menemukan 21 CP yang ditetapkan mengikut turutan yang betul.

“Walaupun radius pertandingan kecil iaitu seluas padang bola sepak saja, kemahiran membaca peta perlu ada bagi mereka melepasi pagar-pagar itu dan menamatkan perlumbaan.

“Kebanyakan peserta berjaya menamatkannya dalam tempoh 15 minit dan juara kategori institusi pengajian tinggi, Azam Mohd Shidid berjaya merekodkan masa terpantas, iaitu 5 minit 29 saat saja,” kata Aswadi.

Katanya lagi, sirkit dibina tidak begitu sukar tetapi masih mengikut piawaian yang ditetapkan kerana kebanyakan peserta kali pertama menyertainya. Kesimpulannya ia ingin memberi pengalaman baru kepada mereka.

Di samping itu, bagi mencatatkan keputusan yang tepat dan pantas, pihak penganjur menggunakan teknologi sepenuhnya dari Jerman. Peranti yang dikenali sebagai Sportident akan merekodkan masa catatan peserta di setiap CP.

Kata Aswandi, selain menjimatkan masa untuk merasmikan keputusan, ia juga dapat mengelakkan sebarang pertikaian daripada peserta.

Teknologi ini diperkenalkan selaras dengan tuntutan sukan orienteering dunia terutama di Eropah.

Bagi atlet berpengalaman, Mohd Shukri Sulaiman, golongan muda terutamanya pelajar sekolah wajar digalakkan menyertai pertandingan seumpama ini.

“Perlu ada keseimbangan antara ketahanan fizikal, mental dan kepantasan berfikir dalam sukan ini. Maze Run ini tidak begitu sukar dan sesuai untuk semua pihak berbanding kejohanan sukan lasak yang lain seperti Ironman dan triatlon,” katanya.

Beliau yang pernah mewakili negara ke Kejohanan Siri Perlumbaan Lasak Euro Norcha di Alta Tamega, Portugal tahun lalu, juga menggalakkan pihak terbabit menganjurkan sukan ini di peringkat sekolah rendah lagi.

Seorang lagi peserta, Fatin Syahirah Abdul Salleh, teruja apabila berjaya menamatkan perlumbaan dan menemui CP yang betul.

“Biarpun tidak memenangi sebarang hadiah, ia memberikan pengalaman baru dan dapat menguji sejauh mana ketahanan mental dan fizikal saya,” katanya yang kali pertama menyertai kejohanan seperti ini.

Beliau juga memuji kerjasama yang diberikan urus setia dan petugas teknikal ketika membantunya membaca peta yang dibekalkan.

Sementara itu, penganjur utama pertandingan, Shamsuri Abd Latiff berkata, Maze Run salah satu cabang sukan orienteering yang mula mendapat tempat dalam kalangan atlit sukan lasak di Malaysia.

“Sukan ini tidak saja menguji tahap ketahanan fizikal peserta, juga kepantasan berfikir dan kemahiran membaca peta.

“Ia menjadi latihan kepada atlet bertaraf dunia memahirkan diri dalam bernavigasi sebelum menyertai kejohanan lebih lasak dan mencabar yang memerlukan masa lebih lama,” katanya.

Katanya lagi, Maze Run tidak memerlukan kawasan luas, cukup sekadar sebesar padang bola sepak dan diletakkan pagar sebagai penghalang dan diletakkan CP di beberapa lokasi strategik.

Beliau yang juga Pengasas Magnet Edge Orienteering Club (MEOC), adalah pihak yang berusaha membangunkan sukan itu di negara ini kerana nampak potensi dalam sukan ini untuk pergi lebih jauh. MEOC mendapat pengiktirafan daripada Persekutuan Orienteering Antarabangsa (IOF) sebagai tenaga pengajar dan penganjur sukan orienteering di Malaysia.

Sebanyak lapan kategori dipertandingan dalam Malaysia Maze Run Challenge, iaitu 30 tahun ke bawah, 31 tahun ke atas, pelajar IPT dan tertutup Majlis Daerah Kerian yang membabitkan lelaki serta wanita dan pemenang membawa pulang hadiah barangan sukan bernilai RM400 bagi juara, RM300 bagi naib juara, RM200 ketiga dan pememang keempat dan kelima bagi setiap kategori membawa pulang barangan bernilai RM100.

PROFIL:

Nama: Aswadi Aslah

Umur: 34 tahun

Asal: Kota Bharu, Kelantan

Peranan: Pengarah Teknikal

Nama: Mohd Shukri Sulaiman

Umur: 38 tahun

Asal: Pulau Pinang

Peranan: Peserta

Nama: Fatin Syahirah Abdul Salleh

Umur: 26 tahun

Asal: Taiping, Perak.

Peranan: Peserta

Nama: Shamsuri Abdul Latiff

Umur: 47 tahun

Asal: Perak

Peranan: Pengasas pertandingan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2017 @ 7:40 AM