Nur Syafiq mengisi  petrol percuma kepada pemilik motosikal di stesen minyak di Jalan Genuang Segamat. FOTO Ahmad Ismail
Nur Syafiq mengisi petrol percuma kepada pemilik motosikal di stesen minyak di Jalan Genuang Segamat. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail


Segamat: Remaja lelaki berusia 19 tahun mencuri tumpuan apabila memberikan petrol percuma sebanyak 359 liter kepada pemilik motosikal bertujuan meringkan beban mereka.

Remaja terbabit, Nur Syafiq Sazali menawarkan bahan bakar percuma itu di stesen minyak di Jalan Genuang di sini, petang tadi.

Kehadiran remaja berkenaan menarik perhatian ramai apatah lagi sikap murah hatinya itu membolehkan ratusan penunggang motosikal pelbagai jenama berbaris panjang semata-mata mahu mendapatkan minyak petrol secara percuma selama sejam bermula jam 6 petang tadi.

Nur Syafiq berkata, sebanyak RM700 dikeluarkan bagi membayar petrol RN95 kepada pemilik motosikal.

Dia yang menetap di sekitar Tenang di Labis menjalankan perniagaan alat ganti kenderaan bersama beberapa rakannya sejak beberapa bulan lalu amat memahami keadaan semasa kos pengunaan minyak petrol terhadap pengguna motosikal walaupun ia berkuasa rendah.

Nur Syafiq berkata, dia berbincang bersama pemilik stesen minyak berusia 60-an dan hanya menggunakan satu pam minyak untuk memberi bahan bakar itu secara percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2016 @ 8:36 PM