GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Siti Nor Hidayatidayu Razali

Bachok: Dua lagi lelaki warga Myanmar yang terbabit dalam kejadian pembunuhan empat warganegara itu yang mayat mereka ditemui di dalam semak, ditahan dalam serbuan di Kuala Lumpur malam tadi.

Dua lelaki berusia 20-an itu dipercayai dalam cubaan melarikan diri ditahan oleh sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan dan Bukit Aman pada jam 10 malam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata, mereka ditahan susulan selepas polis menahan dua lelaki di Kota Bharu pada jam 7 malam semalam.

"Hasil siasatan polis, dua daripada mereka mengaku terbabit dalam kes bunuh itu dan seorang daripadanya membeli pisau di sebuah kedai," katanyadalam sidang media di sini, semalam.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, dua lelaki warga Myanmar ditahan reman seminggu bermula hari ini hingga Khamis, susulan kematian empat lelaki warganegara itu yang ditemui dalam semak, Ahad lalu.

Empat lelaki warga Myanmar ditemui mati dalam semak di Kampung Tanjung Hilir, Bekelam, Bachok pada 6.35 petang.

Mayat ditemui orang awam yang melalui kawasan itu sebelum memaklumkan kepada pihak berkuasa.

Siasatan awal mendapati motif pembunuhan angkara dendam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2016 @ 5:59 PM