ZAINOL Samah. FOTO arkib NSTP
ZAINOL Samah. FOTO arkib NSTP
Faliq Lajim


Kuala Lumpur: Polis menasihatkan pihak penganjur agar membatalkan hasrat mereka untuk mengadakan perhimpunan Bersih 5.0 bagi mengelakkan insiden tidak diingini berlaku.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, penganjuran perhimpunan itu boleh mendatangkan kemudaratan kepada orang ramai dan menjejaskan keamanan dan ketenteraman awam.

"Jika dilihat pada perhimpunan lalu, berlaku beberapa insiden tidak diingini berlaku yang boleh mengugat keselamatan orang ramai.

"Berdasarkan pengalaman itu, kami (polis) menasihatkan kepada pihak penganjur agar membatalkan hasrat mereka untuk mengadakan perhimpunan itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini hari ini.

Zainol berkata, sekiranya pihak penganjur bertegas dengan keputusan untuk mengadakan perhimpunan itu, ia perlu diadakan di tempat tertutup.

"Mereka boleh mengadakan perhimpunan ini dengan syarat, ia diadakan di tempat tertutup dan penganjur mesti mengikut nasihat polis.

"Perkara itu menjadi satu kesalahan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Perhimpunan Aman sekiranya ia memasuki jalan raya sehingga menjadi protes jalanan," katanya.

Sehingga kini, pihaknya sudah menerima dua notis mengenai perhimpunan itu yang dijangka diadakan pada 19 November ini di Dataran Merdeka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2016 @ 6:07 PM