Zainol. FOTO Arkib NSTP
Zainol. FOTO Arkib NSTP
Oleh Norizuan Shamsuddin


Kuala Lumpur: Polis akan ambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa yang menyertai perhimpunan pemandu teksi dirancang diadakan di sekitar ibu kota, Rabu ini berikutan tidak mendapat kelulusan permit.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, pihaknya menerima notis pada 6 November lalu daripada Persatuan Jawatankuasa Bertindak Pemandu Teksi Lembah Kelang yang berhasrat untuk mengadakan perhimpunan di Karang Kraf, Padang Merbok, Masjid Negara dan Dataran Merdeka.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan perhimpunan yang menuntut kerajaan melihat kebajikan pemandu teksi, gagal mendapatkan kelulusan daripada pemilik kawasan yang mahu digunakan itu.

"Polis sudah mengadakan perjumpaan sebanyak dua kali bersama pihak penganjur dan kita sudah menyatakan bahawa notis yang dikemukakan oleh mereka tidak dapat diproses kerana tidak mendapat kebenaran pemilik tempat perhimpunan terbabit.

"Jadi, sekiranya perhimpunan terbabit berlaku, maka itu adalah satu perhimpunan yang tidak mengikut lunas undang-undang seperti mana disyaratkan mengikut Seksyen 11 Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 376).

"Polis menasihatkan pemandu dan pemilik permit teksi tidak terbabit dengan perhimpunan itu. Polis juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang kepada mereka, (jika sertai perhimpunan)" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2015 @ 8:31 PM