Oleh Fardy Bungga


Kuala Lumpur: Polis sudah memanggil kumpulan baju merah yang berhimpun di hadapan Sogo 25 Ogos lalu untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan di IPD Dang Wangi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, polis menerima laporan berhubung perhimpunan berkenaan.

Menurutnya, polis akan mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang.

"Polis menerima laporan berhubung himpunan itu dan penganjur yang sudah dikenal pasti dipanggil hari ini untuk memberi keterangan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zainol menegaskan, kertas siasatan sudah dibuka dan kes disiasat mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Pada perhimpunan Selasa lalu, beberapa lelaki memakai baju merah melakukan pelbagai aksi lasak termasuk memukul kepala dan belakang badan dengan kayu sehingga pecah selain memecahkan papan atap dengan kepala.

Mereka mendakwa tindakan itu sebagai persediaan untuk menghadapi peserta perhimpunan haram yang akan diadakan hujung minggu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2015 @ 7:19 PM