Oleh Shakilawati Abd Rahman

Melepasi trimester pertama, Almy Nadia kini tidak lagi dihantui rasa mual mahupun berdepan masalah alahan.

Bagaimanapun, dugaan lain pula hadir apabila tahap kesihatannya merosot. Dia kerap demam, malah terbaru terpaksa bermalam di hospital gara-gara keracunan makanan.

Pun begitu, dia tidak pernah merungut, sebaliknya menerima ujian itu dengan sabar. Barangkali itulah sebahagian pengorbanan yang perlu dilakukan sebagai bakal ibu.

Akui Almy, dia bahagia dengan fasa baru dalam kehidupannya. Bakal menimang cahaya mata hasil perkahwinan dengan pelakon Fizz Fairuz adalah anugerah yang sangat bermakna buatnya.

"Alhamdulillah, kandungan saya masuk tujuh bulan. Anak dalam kandungan sihat tetapi ibunya pula mudah jatuh sakit.

"Demam dan rasa tidak sedap badan perkara biasa. Malah, baru-baru ini saya muntah teruk akibat makan telur pindang. Nasib baik cepat dapatkan rawatan di hospital. Kalau tidak, tak tahu apa akan berlaku pada saya dan anak dalam kandungan.

"Sebelum itu saya kena ruam teruk di muka dan tangan. Puas juga berubat. Apabila kandungan semakin besar, nak tidur pun rasa kurang selesa dan kerap juga kena kekejangan kaki.

"Tak mengapalah, ini perkara biasa bagi wanita yang hamil dan saya gembira melaluinya. Janji anak dalam kandungan membesar dengan sihat," katanya riang.

Sejak dua bulan lalu, Almy juga akui berat badannya naik mendadak apabila bertambah tujuh kilogram dalam tempoh seminggu. Berikutan perubahan ketara itu, dia dinasihatkan mengawal pengambilan makanan, terutama nasi.

"Berat badan saya sekarang mencecah 79 kilogram. Pada mulanya risau juga kalau-kalau ada kencing manis tetapi lega keputusan ujian negatif.

"Bagaimanapun, doktor pesan supaya kawal pengambilan makanan. Nak makan boleh, tapi ambil dalam kadar sederhana.

"Tiga bulan pertama kehamilan, jangankan makan, tengok nasi pun tak boleh, tetapi selepas tempoh itu saya okay. Punyalah berselera, boleh makan empat kali sehari dan sekarang saya dinasihatkan makan dua kali saja sehari," katanya ketawa.

Almy bersyukur kerana Fizz tidak henti-henti membantunya sepanjang tempoh kehamilan. Suaminya tidak pernah merungut meskipun terpaksa bangun malam untuk mengurutnya jika terkena kekejangan kaki atau badan rasa kurang selesa.

Setiap kali demam atau batuk, Fizz akan menjaganya dan pastikan ubat dimakan mengikut jadual.

"Sejak saya hamil, Fizz sangat prihatin mengenai kesihatan saya. Dia banyak bertanya doktor dan minta pandangan orang tua kerana risau tengok keadaan saya.

"Kalau rasa sakit badan atau kaki, kejut sekali saja dia akan terus bangun dan urutkan saya. Melihat kesungguhannya membuatkan saya terharu.

"Cuma bab mengidam, dia yang lebih. Kalau nak makan sesuatu, dia akan cari sampai dapat dan begitu juga jika saya teringin makan sesuatu.

"Setakat ini dapat, kecuali buah kedondong. Puas dia cari di sana-sini termasuk ketika pulang ke kampungnya di Raub, tapi tak jumpa. Maklumlah, sekarang bukan musim. Saya teringin sangat, sebiji pun tak mengapa, janji dapat merasa," katanya.

Bercerita soal persiapan menyambut kelahiran, Almy berkata, dia dan Fizz memutuskan untuk bersederhana. Bukan tidak teruja, namun mengenangkan bayi cepat membesar, tidak perlu membeli banyak pakaian.

Buat masa ini mereka membeli apa yang dirasakan perlu dan akan mencari lagi selepas bertemu doktor untuk melihat perkembangan bayi mereka.

"Kami beli barang asas dulu seperti baju, lampin pakai buang dan napkin. Barut ada orang hadiahkan, jadi tak perlu beli lagi.

"Barang lain akan beli kemudian. Masih ada dua bulan untuk buat persiapan, tak perlu tergesa-gesa. Lagipun, baju kakak ketika kecil dulu masih boleh pakai lagi, jadi tak perlu membazir.

"Kakak pun tak sabar nak jumpa adiknya, setiap hari bertanya bila saya nak bersalin. Dia tidak sabar-sabar mahu ajak adik main masak-masak," katanya yang dijangka bersalin 27 Februari depan.

Kata Almy, anaknya, Nur Afrina Darwisyah, 5, sangat manja dengan Fizz dan bayi dalam kandungannya juga kemungkinan perempuan berdasarkan pemeriksaan doktor.

"Doktor juga menjangkakan saya bersalin dua minggu awal, jadi kena bersedia. Insya-Allah, mak saya akan datang temankan saya nanti.

"Sekarang pun Fizz banyak ada di rumah pada sebelah malam. kebetulan pula penggambarannya hanya siang dan kalau keluar malam pun atas urusan kerja. Itupun sekejap saja kerana dia risau tinggalkan saya seorang di rumah.

"Ikut perancangan, selepas bersalin, saya akan berpantang seminggu di ibu kota dan selepas itu pulang ke kampung. Fizz pula ada penggambaran di Kelantan kira-kira dua hingga tiga minggu," katanya.

Mengenai nama, mereka belum fikirkan tetapi kata Almy, kalau boleh biarlah ia pendek, sedap didengar dan baik maksudnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Disember 2014 @ 5:01 AM