Almy Nadia sedang mengandung enam bulan. FOTO fail Harian Metro/IG Almy Nadia
Almy Nadia sedang mengandung enam bulan. FOTO fail Harian Metro/IG Almy Nadia
Ramlah Zainal


PELAKON Datin Almy Nadia kecewa dan terkilan kerana masih ada peminat melemparkan kata-kata negatif terhadap fizikalnya yang berisi kerana mengandung anak ketiga.

Menurut pemilik nama sebenar Almy Nadia Aminuddin Shah, pertambahan berat badannya ketara kerana usia kandungan kini mencecah enam bulan.

“Kejadian berlaku ketika saya bertembung dengan peminat ketika terbabit dalam acara di Kuantan, Pahang, baru-baru ini.

“Saya berasa marah kerana peminat terbabit menghina bentuk badan saya secara terbuka mendakwa saya nampak gemuk dan hodoh sekarang,” katanya.

Almy berkata sebagai mengulas status dimuat naik di Instagram berhubung dakwaan dirinya melenting apabila badannya berisi dikritik peminat.

Bagaimanapun kata Almy, dia berharap peminat seharusnya menegur golongan artis secara lebih berhemah bila bertemu di luar.

“Sebagai artis, saya sendiri tidak berani menegur orang sesuka hati tanpa memikirkan perasaan dan situasi mereka.

“Bagi saya, artis orang biasa dan kami juga memiliki perasaan malu dan sensitif sama seperti orang lain,” katanya.

Mengenai kandungan pula, kata Almy, dia dijangka melahirkan bayi perempuan pada Disember nanti.

“Saya juga mengalami alahan yang teruk pada kandungan ketiga ini.

“Bila dikritik bentuk badan, saya berasa tidak mahu makan tetapi suami minta saya memikirkan kesihatan kandungan berbanding kritikan orang,” katanya.

Almy dan pelakon Datuk Fizz Fairuz mendirikan rumah tangga pada 26 April 2014.

Pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata, Nur Afrina Arianna, 3, dan Nur Afirna Aurora, 2 dan seorang anak angkat, Nur Afrina Darwisya, 9.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Ogos 2018 @ 8:19 PM