BERGAMBAR di ladang teh.
BERGAMBAR di ladang teh.
DERETAN Konvoi Media Ford Ranger ke tanah tinggi Cameron.
DERETAN Konvoi Media Ford Ranger ke tanah tinggi Cameron.
Nurul Husna Mahmud


Mudah ke memandu pikap? Gerun pula memikirkan keterlanjuran menyahut tawaran wakil penganjur Ford Motor Company mengendalikan Ford Ranger transmisi manual ketika mengikuti kembara media selama dua hari ke tanah tinggi, Cameron Highlands.

Menyedari jalan sempit bakal dilalui konvoi ini kerana laluan dipilih menuju ke tanah tinggi itu bermula dari Kuala Woh, Tapah, Perak, dibandingkan dengan saiz kenderaan pikap ini terlalu besar bagi penulis yang hanya memandu kenderaan kompak, membayangkan kenderaan ini sukar dikendalikan.

Namun, jurulatih pemanduan mesra dengan panggilan Hamdan, tertib memberi penerangan, mengundang rasa tenang menjadikan pemanduan hampir 50 kilometer menuju ke Cameron Highlands Resort suatu pengalaman mengujakan.

Terus terang tidak begitu memahami binaan teknikal kenderaan yang menggunakan enjin diesel empat silinder 2.2L Duratorq Ford, berdasarkan pengamatan pengalaman peribadi, tempoh dua jam mengenali pikap ini, ia satu kenderaan bertenaga.

Memadai menggunakan gear tiga ketika melepasi jalan bukit, kenderaan ini mampu mengekalkan kelancaran tanpa ada insiden enjin mati di pertengahan jalan. Membayangkan kenderaan pastinya selesa dikendali pada trek belukar mahupun bukit mencanak.

Malah tempoh memandu menuju ke destinasi pertama iaitu Ye Olde Smokehouse untuk menikmati jamuan tengah hari ala Inggeris terasa singkat. Namun, sebelum itu kumpulan dianggotai 11 wakil media turut dibawa ke kebun sayur berteres, sebahagian wakil berkesempatan menguji edisi ‘high range’ model itu, Wild Track.

Meskipun model Ford Ranger ‘high range’ itu diuji pada trek mencanak 45 darjah, namun pikap itu masih tegap mendaki cerun selain dilengkapi teknologi khas ‘zero graviti’ meminimumkan risiko kenderaan itu terbalik. Dalam membantu pemandu menurun cerun itu, brek automasi membantu pengawalan ketika turun.

Kelebihan pandu pikap

Wakil media Anis Hanani Hamdi berkata program ekspedisi Ford Ranger ke tanah tinggi itu pengalaman pertama dirinya mengendali pacuan empat roda.

“Sebenarnya gementar juga apabila perlu melalui jalan bengkang-bengkok dengan pacuan empat roda. Tetapi koordinator berada pada barisan depan konvoi banyak membantu kami relaks.

“Antara tip yang diberikan untuk pemanduan laluan sebegini ialah pergerakan badan terutama mata perlu lebih pantas apabila melewati selekoh tajam.

“Satu kelebihan juga dengan Ford Ranger melalui jalan ini apabila ia tinggi membantu penglihatan lebih jelas. Satu kriteria menarik perhatian saya ialah ‘Reverse Camera’ banyak membantu saya memakir.

“Pandangan saya buat pemandu wanita terutamanya, jangan kekang diri untuk mencuba kenderaan pacuan empat roda hanya kerana saiznya besar. Sebaliknya cuba dan rasai kerana semua mampu mengendalikannya,” katanya.

Menyentuh kepada pengisian program disediakan penganjur, Anis akui berseronok dengan konsep kembara dalam hutan dan menyusuri ladang teh untuk mengenali tarikan utama tanah tinggi Cameron.

“Atur cara menarik perhatian saya ialah ketika kami dibawa makan malam di tapak perkhemahan luar. Ada kumpulan pemuzik dengan lampu kecil serta kerusi rehat membuatkan kami teruja menghabiskan malam di situ. Kemuncak malam itu apabila unggun api dipasang dilihat satu lagi gimik menarik untuk diingati peserta program ini,” katanya.

Hidup kembali minat

Turut mengikuti kumpulan ini ialah kru teknikal Ford Muhammad Sidqi Abu Bakar. Dia menemani penulis bersama dua rakan media merasai laluan separa ‘off-road’ ketika menuju ke puncak Gunung Brinchang.

Katanya, ini pengalaman pertama menaiki pikap mendekati puncak gunung berketinggian 2,032 meter itu berbanding selama ini hanya mendaki biasa.

“Meskipun saya sering mengikuti aktiviti memandu uji kenderaan Ford, kali ini perasaannya cukup berbeza. Paling sukar saya lupakan ialah ketika memandu menuju ke puncak Gunung Brinchang.

“Tidak terjangkau Gunung Brinchang boleh daki menggunakan pikap. Jadi apabila merasai sendiri pada eksplorasi Ford kali ini, saya rasa beruntung. Saya akui pengisian serta pendedahan kaedah ini oleh Ford dalam membantu pihak luar memahami kelebihan serta kekuatan pikap ini amat menarik.

“Malah secara langsung, pemandu teruja dibantu lagi dengan persekitaran semula jadi hijau menyuntik minat kepada aktiviti ini boleh jadi sesuatu menyeronokkan baik dilakukan bersama teman mahupun keluarga,” katanya yang meminati sukan mendaki.

Penuhi permintaan pelbagai pemandu

Menurut Pengurus Komunikasi Pasaran ASEAN dan Asia Pasifik Ford Motor Kamochanok Prasertsom, Ford Ranger ini antara pikap terbaik direka memenuhi keperluan pemakainya baik tujuan komersial mahupun sukan.

“Ford tidak sekadar mahu dikenali sebagai pengeluar kenderaan semata-mata sebaliknya kami mahu dilihat memacu gaya hidup pemanduan masa kini. Konsep itu dapat dihayati menerusi model The Ranger dan relevannya kami memberi pengalaman eksplorasi sepanjang dua hari di Cameron Highlands.

“Model ini melangkaui keperluan pemakai yang mahukan keselesaan baik interior mahupun ketika memandunya. Atas sebab itu kami ketengahkan teknologi pintar seperti ‘Hill Launch Assist’, ‘Hill Descent Control’, ‘Adaptive Control’, ‘Lane Keeping Aid’ dan ‘Electronic Stability Control’ (ESC).

“Kami meletakkan tahap tertinggi dalam pencapaian industri pembuatan pikap apabila hanya Ranger menawarkan dua kriteria keselamatan iaitu ESC dan ISOFIX sistem mengambil kira spesifikasi keselamatan kanak-kanak.

“Tentu saja berharap menerusi dua hari program ini, peserta dapat memahami betapa besarnya manfaat pikap ini andai dimiliki oleh pemandu tempatan. Ia pasti dapat memuaskan kehendak peminat sukan rekreasi seperti pacuan empat roda dan juga tujuan komersial termasuklah kemampuan ia menampung beban hingga 1,200 kilogram (kg) dan menarik beban 3,500kg ,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2016 @ 5:02 AM