SUASANA nyaman dan indah di Mossy Forest, Gunung Berinchang, Pahang membuatkan gambar kahwin Tengku Nor Ezzah Farahana dan Abdul Rahim kelihatan unik dan mendapat pujian netizen. FOTO ihsan pembaca
SUASANA nyaman dan indah di Mossy Forest, Gunung Berinchang, Pahang membuatkan gambar kahwin Tengku Nor Ezzah Farahana dan Abdul Rahim kelihatan unik dan mendapat pujian netizen. FOTO ihsan pembaca
Ahmad Rabiul Zulkifli


BIASANYA pasangan pengantin memilih kawasan pantai atau taman sebagai lokasi untuk merakam gambar perkahwinan mereka.

Namun lain pula bagi Tengku Nor Ezzah Farahana Tengku Abu Bakar@Tengku Yahya, 29, dan suaminya, Abdul Rahim Abdullah, 29, yang memilih suasana hutan di kaki gunung sebagai tempat merakam gambar kenangan perkahwinan mereka.

Keputusan pasangan disatukan pada Disember 2018 itu tepat apabila gambar perkahwinan mereka di Mossy Forest, Gunung Berinchang, Pahang itu tular di media sosial selain mendapat pujian netizen berikutan keunikan gambar berkenaan.

Farahana berkata, dia mengikuti aktiviti mendaki gunung sejak 2008 ketika mengikuti pengajian di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

“Saya berangan sejak dari dulu lagi untuk merakam gambar kahwin di hutan atau gunung.

“Akhirnya hasrat saya dipenuhi apabila suami membawa saya berbulan madu di Cameron Highland, sekali gus dekat dengan Mossy Forest, Gunung Brinchang.

“Kami membawa tiga jurugambar iaitu daripada Team Amazing Terengganu dan Discovery Terengganu untuk merakamkan gambar perkahwinan dan bersyukur kerana hasilnya memenuhi kehendak kami,” katanya.

Menurutnya, sememangnya berbaloi menempuh perjalanan selama 40 minit dari Brinchang, Cameron Highlands ke Mossy Forest dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda.

Katanya, mereka tidak terus sampai ke tempat merakam gambar kerana perlu berjalan kaki kira-kira setengah jam ke kawasan hutan itu.

“Memang agak rumit sepanjang proses merakam gambar berkenaan, tetapi pengalaman menjalankan aktiviti luar membuatkan ia dianggap sebagai rutin biasa.

“Uniknya bergambar di lokasi itu kerana ia dipenuhi lumut seterusnya membuatkan gambar dirakam lebih cantik dan menarik,” katanya.

Menurutnya, dia berasa bertuah dipertemukan dengan suaminya yang turut gemarkan aktiviti lasak sepertinya itu.

Katanya, mereka sudah mendaki banyak gunung dan bukit bersama sebelum berkahwin antaranya Gunung Sarut, di Setiu dan Gunung Cemerong Berembun dan Lansir (CBL) di Dungun.

Selain itu, katanya, rutin wajib pada setiap bulan adalah mendaki Bukit Besar, Bukit Maras dan Bukit Bauk di sekitar Kuala Terengganu dan Dungun.

Abdul Rahim pula berkata, dia berkenalan dengan isterinya itu ketika mengikuti ekspedisi mendaki Gunung Stong, Dabong, Kelantan pada Oktober 2017.

“Bermula dari situ kami menjadi rapat dan sering mendaki gunung bersama sebelum menyedari kami mempunyai banyak persamaan dan mengambil keputusan untuk berkahwin.

“Saya memang sedia maklum mengenai impian isteri untuk merakam gambar kahwin seperti itu justeru merancang dengan sebaik mungkin untuk merealisasikan impian itu,” katanya.

Menurutnya, dia berpuas hati dengan hasil yang diperoleh dan akan membawa isterinya itu ke Gunung Kinabalu pada Julai ini untuk bulan madu yang kedua dan merancang untuk merakam gambar sama di puncak tertinggi di Asia Tenggara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 6:44 PM