Oleh Asrizal Aris

Bidor : Warga emas ditemui mati dipercayai dibunuh menggunakan cara hentakan di kepala menggunakan objek tumpul, sebelum diseret sejauh 50 meter dari tempat dia dibunuh di Kampung Cegar, Jalan Sungkai, di sini, kira-kira 7.30 pagi ini.

Mangsa, A Kamalam, 79, ditemui anak angkatnya di tepi sungai berdekatan kediamannya dalam keadaan separuh bogel, kira-kira 7.30 pagi.

Menurut sumber, anak angkatnya yang baru pulang dari rumah jiran terkejut melihat lumuran darah di lantai kediaman mangsa dan gagal mencarinya.

“Anak angkat mangsa ternampak tanda seretan dan darah di lantai serta tanah di halaman rumahnya. Dia kemudian mengikut tanda terbabit sebelum menemui mayat mangsa 50 meter dari tempat mangsa dipercayai dipukul.

"Berdasarkan bukti dan kesan darah pada bahan yang dijumpai di kawasan rumah itu, mangsa dipercayai dihentak dengan kayu di belakang kepala sebelum diseret dan dicampak ke dalam semak tepi sungai berdekatan rumahnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Disember 2014 @ 6:52 PM