MAYAT mangsa.
MAYAT mangsa.
Nur Saliawati Salberi


DUA individu, termasuk seorang wanita ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes seorang pengusaha bengkel kenderaan yang ditemui mati dipercayai dibunuh di Taman Malim Jaya, di Melaka, pada Ahad lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris berkata, kedua-dua individu terbabit ditahan sepasukan anggota polis di Kampung Bakar Batu, Bachang, Batu Berendam, petang semalam.

“Hasil maklumat yang diterima membawa kepada penangkapan seorang wanita berusia 32 tahun, kira-kira jam 4 petang di sebuah rumah.

“Susulan itu, suspek kedua lelaki berusia 40 tahun ditahan dalam tempoh kira-kira dua jam kemudian di tepi jalan kawasan berhampiran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, di Melaka, hari ini.

Akhbar semalam melaporkan, pelanggan restoran yang sedang menikmati sarapan gempar selepas dimaklumkan penemuan mayat seorang lelaki, Koo Kar Chung, 56, yang ditemui berlumuran darah oleh pekerja restoran, kira-kira jam 7.30 pagi.

Mangsa dipercayai diserang dengan pemutar skru.

Mohd Nor Yhazid berkata, siasatan awal mendapati, suspek lelaki itu dipercayai ke bengkel berkenaan untuk mencuri besi buruk.

Mangsa dipercayai bergelut dengan suspek sebelum dia dibunuh.

“Hasil pemeriksaan mendapati, suspek turut mempunyai rekod jenayah lampau, termasuk positif dadah hasil saringan ujian air kencing.

“Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 16 Julai depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Berita berkaitan

Berlumuran darah

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Julai 2018 @ 7:42 PM