RAY (duduk) turut menggunting rambut.
RAY (duduk) turut menggunting rambut.
Firdaus Hashim

Shah Alam: Pemain paling berpengaruh dalam kem Selangor Andik Vermansyah mengakui faktor ‘pemain ke-12’ cukup penting untuk memberi sokongan tidak berbelah bahagi dalam meniup dan membakar semangat pasukan.

Justeru, Andik menagih suasana malam final Piala Malaysia musim lalu dapat diulangi apabila Red Giants berdepan Kedah di Stadium Shah Alam, Ahad ini.

Katanya, laungan dan sorakan penyokong yang begitu padu dengan lautan Merah Kuning berserta lagu rasmi pasukan ‘Merah Kuning Lambang Kebanggaan’ benar-benar menyuntik ‘aura’ pemain sekali gus dapat membantu meningkatkan keyakinan pasukan ketika beraksi.

“Saya harap penyokong Selangor dapat membanjiri stadium pada malam final itu nanti dan bertarung bersama-sama pasukan sepanjang 90 minit nanti.

“Kami akan cuba meraih kemenangan di padang, manakala penyokong memenangi sorakan di luar yang saya percaya laungan mereka dapat membantu memberi motivasi kepada pasukan.

“Apabila kami (pemain dan penyokong) bersatu, ia mungkin memberi kelebihan kepada pasukan untuk melemahkan semangat pihak lawan,” katanya ketika ditemui pada program Joe Barber PKNS Shah Alam bersama pemain Selangor, di sini, semalam.

Dalam program santai itu, Andik turut memotong rambutnya sambil ditemani penyampai radio terkenal, Shah Reza Mohd Shah atau lebih popular dipanggil Ray serta artis tempatan yang hadir selaku peminat pasukan Selangor dan Kedah.

Sementara itu, bagi pengurus program Mohd Nizar Manaf berkata, acara serba ringkas itu dianjurkan bersempena kejayaan skuad kendalian K Gunalan melangkah ke pentas final buat musim kedua berturut-turut.

“Program ini yang pertama kali diadaskan untuk menunjukkan tanda sokongan kepada pasukan.

“Pemain bukan saja dapat beramah mesra dengan penyokong bahkan dapat juga memotong rambut secara percuma,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2016 @ 9:59 AM