PEMAIN Selangor meraikan jaringan Nazmi (dua dari kiri) ketika menentang PKNS, kelmarin.
PEMAIN Selangor meraikan jaringan Nazmi (dua dari kiri) ketika menentang PKNS, kelmarin.
Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Pengendali Selangor K Gunalan berpuas hati dengan persembahan anak buahnya dan menyifatkan segala perancangan membuahkan hasil terutama dalam mengikat trio import PKNS FC.

Dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Shah Alam itu, Selangor selaku penyandang juara Piala Malaysia mara ke separuh akhir dengan agregat 5-3 selepas menang 1-0 malam kelmarin.

Jelas Gunalan, beliau memuji jentera pasukan yang bersungguh-sungguh dan fokus 100 peratus untuk meletakkan Red Giants pada landasan tepat bagi mempertahankan mahkota kejuaraan musim ini.

“Biarpun kami sudah mendahului 4-3 pada aksi suku akhir pertama, pemain tetap mempamerkan persembahan baik dan kesungguhan tinggi yang menunjukkan mereka sedar inilah satu-satunya peluang menjulang piala selepas gagal dalam Liga Super dan Piala FA.

“Babak pertama, kami dapat tiga atau empat peluang terbaik untuk menjaringkan gol tapi malangnya semua tendangan itu ke arah penjaga gol.

“Namun, jaringan Nazmi Faiz Mansor pada awal babak kedua memberikan semangat kerana agregat ketika itu sudah menjadi 5-3,” katanya pada sidang media selepas aksi itu.

Beraksi di depan kira-kira 10,000 penyokong setia Merah Kuning, tuan rumah merobek gawang pelawat menerusi jaringan Nazmi Faiz yang bijak menyudahkan hantaran ketua pasukan Andik Vermansyah pada minit ke-55.

Jaringan itu nyata menyentap semangat anak buah E Elavarasan yang terpaksa mencari tiga gol untuk memadam kelebihan Selangor itu. Namun, segala usaha pelawat untuk bersaing agak sukar susulan kawalan mantap diperagakan barisan pertahanan Selangor ke atas penyerang pelawat.

“Saya rasa Patrick Ronaldinho, biarpun dia tidak menjaringkan gol tetap memberi sumbangan di barisan depan selain Andik dan R Gopinathan yang menghidupkan kedua-dua bahagian sayap pasukan.

“Gandingan pemain pertahanan juga semakin baik dan meningkat. Harap semua itu dapat dikekalkan pada baki dua perlawanan liga dan juga separuh akhir nanti,” katanya yang akan bertemu T-Team dalam aksi empat pasukan terbaik nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 September 2016 @ 8:45 AM