DE Paula (kiri), Cornthwaite (tengah), Dos Santos idam julang kejayaan bersama Selangor.
DE Paula (kiri), Cornthwaite (tengah), Dos Santos idam julang kejayaan bersama Selangor.

Shah Alam: Bukan gelaran individu dikejar namun kejuaraan buat Selangor musim depan.

Itu keazaman dilontarkan penyerang baru Selangor dari Brazil, Guilherme De Paula yang mahu menamatkan kemarau kejuaraan Merah Kuning sejak kebelakangan ini.

Penyerang berusia 28 tahun itu hadir sebagai pengganti Paulo Rangel yang dilepaskan untuk beraksi bersama Terengganu musim depan.

Rangel, juga dari Brazil, muncul penjaring terbanyak Liga Super musim lalu namun gagal membantu Selangor menjulang Liga Super apabila terpaksa berpuas hati sebagai naib juara.

“Saya sedar sejarah Selangor yang penuh dengan kejayaan. Buat penyokong, saya mengharapkan meraih sebuah trofi musim depan.

“Apa Rangel lakukan musim lalu memang hebat, namun ia sudah berlalu. Kini giliran saya untuk mencuba sesuatu musim depan,” katanya.

Bekas pemain kelab Malsini di Moldova berkenaan ditemui selepas hadir pada sesi latihan pertama Selangor di bawah kendalian ketua jurulatih Mehmet Durakovic di Padang SUK, Shah Alam.

Mengulas mengenai rakan sepasukannya di Selangor, De Paula berkata, dia tidak mempunyai masalah bekerjasama demi kebaikan pasukan.

“Setakat ini saya gembira dengan rakan sepasukan, jurulatih dan penyokong yang hadir memberikan sokongan,” katanya.

Selain De Paula, Selangor turut mendapat khidmat dua pemain import, Leandro Dos Santos dan Robert Cornthwaite selain mengekalkan Andik Vermansah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Disember 2014 @ 6:43 AM