ANDIK (kanan) akan beraksi di Stadium Shah Alam pada pertemuan Kedah dan PKNS. FOTO/FAIL
ANDIK (kanan) akan beraksi di Stadium Shah Alam pada pertemuan Kedah dan PKNS. FOTO/FAIL
Izzali Ismail


AKSI Liga Super antara PKNS FC dengan Kedah di Stadium Shah Alam, Ahad ini menjadi pengubat rindu buat pemain import dari Indonesia, Andik Vermansyah yang bertekad membantu skuad Lang Merah memburu kemenangan kedua selepas menewaskan PKNP FC minggu lalu.

Bekas pemain Selangor yang sudah beraksi di Stadium Shah Alam sejak 2013 mengakui tidak sabar untuk kembali bermain di stadium itu selepas kali terakhir tampil bersama Merah Kuning pada aksi final Piala Malaysia 2016.

“Memang saya merindui untuk beraksi di Stadium Shah Alam namun ia akan menjadi lebih bermakna jika saya dan rakan dapat membantu pasukan untuk mencatat kemenangan.

“Selepas penampilan pertama sewaktu membantu Kedah memenangi perlawanan ketika bertemu PKNP FC 1-0 pada 11 Februari lalu, semangat saya semakin melonjak dan saya akui sedang berusaha gigih untuk terus meningkatkan prestasi pada tahap terbaik.

“Selain motivasi yang diterapkan dalam pasukan sewaktu latihan, sokongan dan galakan dari rakan sepasukan dan penyokong menjadi perangsang utama untuk saya meneruskan usaha membantu pasukan memburu kemenangan dalam setiap perlawanan,” katanya.

Andik yang juga pemain import kuota ASEAN meluahkan rasa ‘terkejut’ kerana walaupun baru saja bersama pasukan pada 9 Februari lalu, namun kemesraan yang ditunjukkan oleh pemain serta penyokong Kedah sungguh menyentuh hatinya apabila mereka menyambut kehadirannya dengan penuh kemesraan hingga berasakan seolah sudah lama beraksi bersama pasukan Hijau Kuning.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang menyambut baik kehadiran saya dalam pasukan dan saya mengambil kesempatan ini untuk terus bekerja keras serta berazam mahu meningkatkan prestasi saya dan berharap ini mendorong untuk kejayaan saya bersama Kedah musim ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2018 @ 5:37 PM