ANDIK (tengah) menyuapkan kek kepada Aina.
ANDIK (tengah) menyuapkan kek kepada Aina.

Shah Alam: Bagi membangkitkan semangat pasukan Selangor menjelang aksi final Piala Malaysia bertemu Kedah pada Ahad ini, Gabungan Kelab Penyokong Selangor (GFCS) menganjurkan majlis ringkas memotong kek bersama pemain yang dilakukan sebaik tamat latihan pasukan di padang Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini semalam.

Menurut jurucakap GFCS, Mohd Faizal Wahid, idea memotong kek itu timbul hasil perbincangan bersama ketua kelab penyokong negeri itu yang mahukan kelainan berbanding musim sebelum ini.

“Musim lalu, kami buat sepanduk gergasi dan untuk musim ini kami adakan sedikit kelainan dengan majlis potong kek.

“Ia sebagai simbolik menandakan tahap sokongan penyokong GFCS yang cukup menebal. Kami yakin final musim ini akan berpihak kepada Selangor sekali lagi seperti mana musim lalu.

“Lagipun beraksi di halaman sendiri memberi kelebihan buat Selangor dan saya harap dengan adanya majlis serba ringkas ini pemain akan beraksi lebih bersemangat nanti,” katanya ketika ditemui, semalam.

Dalam majlis itu, pihak GFCS menghadiahkan dua kek yang dipotong pemain Red Giants - ketua pasukan, Shahrom Abdul Kalam dan penolong ketua pasukan, Andik Vermansyah.

Sementara itu, turut diraikan dalam majlis sama ialah peminat kelainan kurang upaya (OKU), Nur Aina Syafiqah Razali, 19, yang begitu meminati pasukan Selangor sejak kecil malah dia sering di bawa rombongan penyokong setiap kali pasukan itu beraksi di luar Lembah Klang.

Aina, yang meminati Andik, menerima jersi pasukan yang diserahkan sendiri pemain sayap kebangsaan Indonesia itu. Turut hadir bapa Aina, Razali Shahran.

“Saya gembira kerana impian untuk bertemu Andik secara berdepan akhirnya menjadi kenyataan. Terima kasih kepada Andik kerana menghadiahkan jersi dan saya akan pakai baju itu pada hari final nanti.

“Saya harap Selangor dapat menewaskan Kedah bagi mengekalkan piala itu di bumi Selangor,” katanya yang mengalami penyakit saraf sejak kecil.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2016 @ 7:46 AM