Oleh Muhammad Apendy Issahak


Ipoh: Dua pegawai kanan Jabatan Imigresen Perak ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah.

Kedua-dua pegawai berkenaan ditahan di rumah masing-masing kira-kira 2 pagi dan kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan.

Difahamkan mereka disyaki terbabit dalam kes meminta dan menerima rasuah daripada pemilik pusat hiburan di daerah Manjung berjumlah RM10,000 baru-baru ini.

Wang berkenaan dipercayai sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap premis hiburan terbabit yang mengambil wanita asing sebagai pelayan pelanggan.

Kedua-dua suspek kini disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan perintah reman dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Ipoh pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2015 @ 7:16 PM