Calais (Perancis): Ratusan pendatang membawa beg masing-masing dan menaiki bas semalam untuk meninggalkan ‘Hutan Calais’ selepas kerajaan Perancis merancang merobohkan kem penempatan yang menjadi simbol krisis pelarian di Eropah.

“Selamat tinggal hutan,” kata sekumpulan pendatang yang menjinjing bagasi mereka melalui laluan berlumpur di Calais.

Ribuan pelarian dari Afrika dan Asia Barat berlindung di Calais dan berusaha untuk menyusup masuk ke Britain sejak beberapa bulan lalu.

Kira-kira 1,200 anggota polis yang sebahagiannya lengkap dengan peralatan antirusuhan mengawal pemindahan itu.

Petugas akan masuk ke kawasan berkenaan hari ini bagi memulakan kerja merobohkan kem itu, antara terbesar di Eropah.

Seramai 6,000 hingga 8,000 pelarian termasuk 1,300 kanak-kanak tinggal di kem berkenaan sebelum keputusan merobohkannya diambil.

Pegawai berkata, mereka merancang memindahkan 2,500 orang pada hari pertama dan menyempurnakan operasi itu menjelang petang esok.

Pengarah Migrants’ Hostel, badan kebajikan utama di kem itu, Christian Salome berkata, sebahagian pendatang itu memang tidak sabar untuk keluar dari kem itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2016 @ 9:53 AM