PEMAIN Thailand menjalani latihan sambil diawasi Kiatisuk (tiga dari kiri) menjelang perlawanan akhir pusingan kedua Piala AFF
PEMAIN Thailand menjalani latihan sambil diawasi Kiatisuk (tiga dari kiri) menjelang perlawanan akhir pusingan kedua Piala AFF

Kuala Lumpur: Padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang dikatakan pada tahap terbaik bagi final kedua Piala AFF 2014 malam ini sebenarnya tidaklah seperti yang didakwa.

Ini terbukti selepas sesi latihan rasmi Malaysia dan Thailand di stadium itu semalam menyaksikan masalah sama ‘rumput tercabut’ masih berulang.

Menurut jurulatih Thailand Kiatisuk Senamuang beliau mengharapkan cuaca baik hari ini bagi mengelakkan permukaan padang menjadi lebih teruk.

“Saya lihat padang ini OK, tapi rumput agak lembut dan mudah tercabut. Kita tidak tahu esok (hari ini) akan hujan atau tidak.

“Kalau hujan pasti keadaan padang lebih licin. Tapi kedua-dua pasukan akan bermain di atas padang sama dan ia tidak memberikan kelebihan,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan pasukannya semalam.

Sebelum ini Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) Datuk Rozabil Abd Rahman memberi jaminan keadaan rumput padang stadium itu sudah sedia untuk digunakan apabila dibaik pulih semula.

Stadium itu yang ditutup selama setahun bermula Oktober 2013 bagi penanaman semula rumput dikecam hebat berikutan mutu padang teruk pada aksi final Piala Malaysia 1 November walaupun kos projek itu menelan belanja RM1.5 juta.

Selepas itu ia ditutup sekali lagi bagi tujuan baik pulih dan hasil pemeriksaan bersama PSM, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) 14 Disember lalu, stadium berkapasiti 90,000 penonton itu sah dijadikan venue aksi timbal balik final Piala AFF bagi menggantikan Stadium Shah Alam.

Pengendali Harimau Malaya Dollah Salleh yang mengharapkan keadaan padang terbaik bagi misi hidup mati selepas tewas 0-2 di Bangkok bimbang jika ia boleh menjejaskan rentak permainan mereka.

“Ada kawasan rumput OK dan ada kawasan rumput mudah tercabut. Kalau esok (hari ini) tak hujan padang boleh digunakan.

“Kalau padang tak bagus, ia tidak ganggu Thailand tapi akan ganggu pasukan kita kerana kita mahu menjaringkan gol,” katanya selepas tamat sesi latihan anak buahnya di SNBJ semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Disember 2014 @ 5:11 AM