MANGSA stabil dirawat di Hospital Kuala Krai. FOTO Rohaida Omar
MANGSA stabil dirawat di Hospital Kuala Krai. FOTO Rohaida Omar
Rohaida Omar


Kuala Krai: Lelaki parah selepas ditikam rakannya dengan lawi ayam di Kampung Bukit Gua, Manek Urai, di sini, hari ini.

Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira 9 pagi akibat salah faham dan tidak puas hati antara kedua-duanya.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Abdullah Roning berkata, mangsa Mohd Rozaimi Mt Kasim, 37, ditikam di perut sebelah kanan.

"Dia mengalami luka sepanjang 15 sentimeter dipercayai akibat tikaman dengan lawi ayam dan ditemui penduduk kampung yang menghantarnya ke Klinik Kesihatan Manek Urai.

"Mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Kuala Krai untuk rawatan lanjut dan dilapor stabil," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Abdullah berkata, siasatan awal dapati berlaku salah faham ketika mangsa menemui suspek yang juga rakannya berusia 45 tahun dikenali Shaifulzaman Che Hassan.

Katanya, bersama suspek ketika itu adalah seorang rakannya yang memakai topeng muka.

"Usaha menjejaki suspek dan rakannya sedang dijalankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2016 @ 7:53 PM