Kuala Krai: Seorang guru wanita Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Manek Urai di sini, wajar digelar ‘Guru Besi’ lantaran kecekalan dan ketabahan hatinya berdepan detik mencemaskan ketika tragedi Bah Kuning melanda Manek Urai dan Laloh, dekat sini, 23 Disember lalu.

Dalam kejadian bencana banjir lalu, demi tanggungjawab, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM) SMK Manek Urai, Noraini Mat Nor, 48, sanggup menjaga harta benda sekolah daripada dicuri selain mengurus mangsa banjir yang ditempatkan di sekolah itu.

Katanya, siang dan malam dia meronda bersama dua lagi guru memandangkan sekolah itu turut menempatkan kira-kira 200 mangsa banjir dari sekitar Manek Urai.

Ketika paras air dikesan mulai naik, dia turut memunggah meja serta kerusi dari dalam kelas selama dua jam untuk dibawa naik ke tingkat tiga sekolah.

“Kedudukan sekolah kira-kira 100 meter dari Sungai Lebir, menyebabkan saya tidak mampu menyelamatkan semua harta benda sekolah disebabkan paras air naik mendadak.

“Saya lihat sendiri surau sekolah dihanyutkan arus deras hingga ke pagar utama sekolah sejauh 400 meter,” katanya.

Noraini berkata, pada masa sama dia turut membantu menguruskan mangsa banjir selepas sekolah itu dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2015 @ 5:37 AM